Skip to main
Logo Malaysiakini

Hannah minta maaf, mengaku ada masalah peribadi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selepas beberapa hari kisah perkahwinannya terpalit kontroversi, pelakon dan penyanyi Singapura, Hannah Delisha akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka kepada peminatnya.

Hannah yang baru-baru ini tampil dengan berita mengejutkan sudah berkahwin dengan Imam Shah - aktor yang juga berasal dari Singapura - meminta diberikan ruang peribadi untuk berdepan kemelut yang melanda.

“Saya memohon maaf atas perhatian yang tidak diingini terhadap saya pada ketika ini. Ya, saya juga memiliki masalah peribadi seperti orang lain.

“Sekali lagi, saya mohon maaf atas berita yang tidak menyenangkan mengenai saya dan keluarga.

“Anda layak menerima perkara lebih baik berbanding kisah ini daripada saya. Apa yang dipinta adalah doa anda dan berikan saya ruang peribadi ketika diuji ini,” katanya melalui Instagram.

Spekulasi berkaitan rumah tangga dibina pemilik nama asal Hannah Adlina Blackburne Birch itu muncul selepas ibunya, yang juga penyanyi, Noor Ashikin Ahmad ibarat meluahkan kata-kata terpendam melalui puisi berjudul Hikayat Antah Berantah di media sosial.

Walaupun tidak menyatakan secara terperinci, netizen seolah-olah dapat menghidu sesuatu apabila Noor Ashikin turut mengiringi beberapa perkongsiannya di Instagram dengan tanda pagar #ibutidakrestu.

Terdahulu, Hannah berkongsi foto perkahwinan dengan Imam pada 18 Februari lalu.

Namun, kontroversi tidak terhenti setakat di situ, pelakon Mencintaimu Mr Photographer itu turut didakwa sudah mendirikan rumah tangga dengan Imam lebih setahun lalu.

Ia gara-gara sebuah foto dikongsikan ibu mentuanya, Mariana Yati, yang juga seorang pelakon veteran di Singapura.

Hannah berkata, dia sebenarnya tidak mahu kisah peribadi lebih menjadi perhatian. Pelakon 30 Pesanan Suara itu menjelaskan, dia cuma inginkan cerita kariernya lebih bersinar ketika ini.

“Sejak menyertai bidang lakonan, niat saya cuma untuk menghiburkan anda iaitu peminat menerusi hasil kerja, bukannya berkenaan isu peribadi.

“Saya seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada terbabit dalam sebarang gosip demi menjaga nama baik negara sendiri.

“Saya berharap untuk teruskan perjalanan ini di atas paksi sama, insya-Allah,” katanya.