Skip to main
Logo Malaysiakini

Gila juarai AJL35

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Gila nyanyian Kaka Azraff, Noki dan Loca B dinobat Juara Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada acara kemuncak program itu yang berlangsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, malam tadi.

Lagu tersebut nukilan Noki, Loca B dan Ezra Kong.

Kemenangan itu menyaksikan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 dan trofi Anugerah Juara Lagu 35.

Naib Juara AJL35 menjadi milik lagu berjudul Semalam ciptaan Aina Abdul. Dia membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM35,000 dan trofi Anugerah Juara Lagu 35.

Lagu Belenggu Rindu dendangan Jamal Abdillah dan Wany Hasrita hasil ciptaan komposer Hael Husaini dan Ezra Kong pula mendapat tempat ketiga.

Kemenangan itu membolehkan pasangan duet itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 dan trofi Anugerah Juara Lagu 35.

Penyanyi Ernie Zakri yang mempersembahkan lagu Gundah pula dipilih sebagai pemenang Vokal Terbaik manakala Persembahan Terbaik diraih Zizi Kirana melalui lagu Eh. Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000.

Setiap persembahan finalis AJL35 malam tadi dinilai sepuluh juri profesional tanah air yang diketuai oleh Mokhzani Ismail.

Juri-juri lain turut menyokong tugas Mokhzani ialah Azmeer, Ajai, Syafinaz, Edrie Hashim, Helen Yap, AG Coco, LY, Acis dan Lukhman S.

Tiga pengacara hebat Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Husni mengendalikan majlis anugerah dalam norma baru yang berlangsung tanpa penonton itu.

Menerusi tinjauan Malaysiakini di Twitter, rata-rata netizen juga memuji persembahan pembukaan menerusi lagu Gemilang, gandingan Ratu Rock, Ella, bersama bakat muda, Naim Daniel dan Yonnyboii.

Persembahan interlude AJL35 pula digemparkan dengan persembahan bertemakan projek band. Ia menampilkan Hujan, Hazama The Penglipur Lara dan Akim & The Majistret dengan persembahan medley dan mash up lagu-lagu terbaik mereka bersama Misha Omar, Dayang Nurfaizah serta Ziana Zain.

Lagu lain yang bersaing di pentas AJL35 adalah Hati dendangan Hael Husaini, 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta), Aku Bidadari Syurgamu (Aishah), Hutang (Floor 88), Kau Sakiti (Amir Masdi), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter) dan Peluang Kedua (Nabila Razali).