Skip to main
Logo Malaysiakini

Kaka pendam hiba dalam-dalam hadapi cabaran AJL35

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kaka Azraff mengakui dia terpaksa mencekalkan diri semasa berdepan dugaan kehilangan nenek - yang juga mentor nyanyiannya sejak kecil - tiga hari sebelum Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) berlangsung.

Katanya, meskipun kehilangan itu amat dirasai, dia tetap nekad untuk meneruskan perjuangannya di pentas berprestij berkenaan demi melunaskan impian arwah yang mahu melihatnya berjaya sebagai penyanyi.

“Memang betul-betul sedih. Dia yang ajar saya menyanyi sejak kecil. Justeru, saya tak boleh berundur dengan semudah itu selepas bersusah payah untuk sampai ke peringkat akhir.

"Jika saya berundur ia hanya merugikan. Saya yakin dengan lagu ni dan saya juga yakin arwah nenek mahu saya berada di sini malam ni.

“Dia pernah beritahu mahu melihat saya bertanding di pentas persembahan besar seperti ini,” katanya dengan nada sebak pada sidang media selepas acara tersebut berakhir.

Sesi itu diadakan secara maya di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam.

Arwah Yong Asmah Long menghembuskan nafas terakhir pada 2.39 pagi, di Telok Gadong, Klang pada 11 Mac lalu. Yong Asmah adalah ibu kepada Ratu Rock Negara, Ella Aminuddin. 

Menurut pemillik nama penuh Noor Atiqa Noor Azraff itu, sewaktu arwah dikebumikan, mak ciknya - Ella dan Jojie - turut memberikan kata-kata semangat agar dia tidak terus-menerus berdukacita.

Tak mahu terus merintih

“Mereka pesan supaya jangan menangis dan fokus pada AJL35. Kata-kata mereka buat saya lebih bersemangat,” katanya.

Malam kemuncak acara yang diadakan tanpa penonton itu menyaksikan Gila ciptaan bersama Noki, Loca dan Ezra Kong dinobat sebagai Juara. Kemenangan itu melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 berserta trofi.

Gila mengalahkan 11 lagu lain yang turut bersaing sengit bagi mendapatkan gelaran juara seperti Semalam nyanyian Aina Abdul, Belenggu Rindu (Wany Hasrita dan Jamal Abdillah), Gundah (Ernie Zakri), Eh! (Zizi Kirana), Hati (Hael Husaini), 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kimo dan Luca Sickta), Aku Bidadari Syurgamu (Aishah), Hutang (Floor 88), Kau Sakiti (Amir Masdi), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter) dan Peluang Kedua (Nabila Razali).

Bukan setakat itu, Kaka, 31, berkata, dia juga perlu berdepan beberapa cabaran lain seperti kehilangan telefon genggam miliknya.

Pun begitu penyanyi lagu Kembali itu berkata, dia perlu mengetepikan segala perasaan hiba agar dapat melunaskan tanggungjawab dan meneruskan perjuangannya bersama dua lagi rakan duet lagu tersebut, iaitu Loca B dan Noki (K-Clique).

Menurut Kaka, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menghampakan Loca dan Noki.

“Saya tak mahu terus merintih atau berasa sedih. Saya cuba bertahan dan pendamkan semua perasaan yang timbul,” katanya.