Skip to main
Logo Malaysiakini

Luca, Kmy tercari-cari mana silap 7 Nasihat hingga dikata 'tidak asli'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

“Sejujurnya, jawapan yang diberikan juri terasa aneh sampai kami tercari-cari di mana silap kami,” kata Kmy Kmo dan Luca Sickta apabila lagu mereka, 7 Nasihat, dikomen tidak mempunyai keaslian tersendiri.

Meskipun terpaksa akur dengan keputusan itu, Luca Sikta berkata, sebagai manusia biasa perasaan kecewa lagu didendang tidak mendapat tempat pada malam Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) baru-baru ini tetap ada.

“Tipulah kalau nak kata kami tak kecewa. Bukan saja kami, tapi seluruh pasukan yang mengendalikan 7 Nasihat dah cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik.

“Tapi siapalah kami untuk menidakkan keputusan juri profesional dalam industri tanah air. Kami bukan nak bangkang atau buat revolusi.

"Kami sendiri buat lagu nasihat, jadi takkan tak jaga adab.

“Cuma kami berasa aneh kerana bagi orang yang gubah lagu, mereka pasti mendapat inspirasi daripada orang lain,” katanya.

Luca turut menegaskan idea dan garapan mereka dalam 7 Nasihat sememangnya asli.

“Dalam lagu ciptaan dan nyanyian ini, kami tidak mencuri. Karya tersebut dicipta mengikut versi kami sendiri.

"Kami membesar dengan mendengar banyak lagu-lagu nyanyian Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah dan M Nasir,” katanya.

Luca dan Kmy ditemui pada sidang media pelancaran lagu Neraca di Symphony Auditorium, Petaling Jaya, Selangor. Turut hadir, rakan duet lagu berkenaan, Jamal.

Lagu 7 Nasihat turut dinyanyikan Siti Nurhaliza. Namun pada AJL35, tempat Siti digantikan oleh Shiha Zikir.

Untuk rekod, selain 7 Nasihat, tempat Siti untuk Aku Bidadari Syurgamu juga digantikan Aishah.

Pun begitu, Kmy berkata, kegagalan itu tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mencuba pada masa depan di pentas yang meraikan lagu-lagu terhebat secara tahunan itu.

“Kami akan datang lagi dan cuba lagi. Siapa lagi yang akan bawa warna warni muzik asli Malaysia kalau bukan kita sendiri?” katanya.