Skip to main
Logo Malaysiakini

Filem Dayak cipta sejarah di peringkat antarabangsa

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Filem indie, Belaban Hidup: Infeksi Zombie memenangi kategori seram dan sains fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021.

Kejayaan filem terbitan Hornbill Films Sdn Bhd dan Harry Aziz Entertainment Sdn Bhd - yang mengisahkan sekumpulan anak yatim dikurung untuk menjadi bahan uji kaji oleh seorang saintis gila - diumum menerusi laman sesawang WFC Singapore pada 18 Mac.

Lebih istimewa filem yang mendapat dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu menggabungkan elemen seram dan aksi masyarakat Dayak di Sarawak.

Penerbit dan pengarahnya Ray Lee, 45, berkata idea untuk membuat filem itu bermula sejak 2016 melalui kolaborasi dengan penulis skrip berasal dari Limbang, Sarawak, Misha Minut.

Misha juga merupakan penerbit bersama filem berkenaan.

“Asalnya, ia adalah cerita pendek tetapi diubah menjadi sebuah filem.

"Kita tahu tidak banyak cerita Dayak yang ditayangkan di pawagam. Jadi, terniat di hati saya menerbitkan sebuah yang mengetengahkan kisah pahlawan Dayak Sarawak," katanya kepada Bernama.

Katanya, filem itu menjadi lebih menarik kerana ia turut diwarnai penggunaan bahasa gabungan Iban dan Melayu selain babak-babak pertempuran.

"Uniknya filem ini kerana ia menerapkan unsur-unsur budaya dan adat orang Dayak selain perlu menggunakan bahasa Iban dalam beberapa dialog," katanya penerbit berusia 44 tahun itu.

Selain itu, Lee berkata filem berkenaan turut tercalon di International Symbolic Art Film Festival di Rusia dalam dua kategori iaitu filem terbaik dan silem seram terbaik.

Festival itu akan berlangsung pada 27 Mac ini.

"Kami juga menanti penuh debaran sama ada ia juga tersenarai untuk dicalonkan dalam festival filem di Amerika Syarikat, United Kingdom, India, New Zealand, Australia, Jepun dan Paris dalam beberapa bulan ini," katanya.

Belaban Hidup: Infeksi Zombie menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Pekin Ibrahim, Altimet, Pablo Amirul, Anna Melissa, Cassidy Panggau dan penyanyi Indonesia, Tegar, serta pelakon kelahiran Slovakia, Katrina Grey.

Filem yang diedarkan Metrowealth Pictures Sdn Bhd itu dijangka ditayangkan di pawagam tempatan menjelang akhir tahun ini.

- Bernama