Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Pertubuhan filem pelonjak industri kreatif negara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah industri.

Sebagai sebuah persatuan sukarela yang tidak bermatlamatkan keuntungan, sesebuah NGO menjalankan aktiviti yang bertujuan menjaga hal-ehwal dan kebajikan pekerja industri di samping mengawal selia kepentingan ahli serta meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

Begitu juga dalam industri perfileman dan penyiaran yang merupakan antara penyumbang penting ekonomi sesebuah negara. Persatuan industri ditubuhkan oleh pemegang taruh seperti penerbit, pempamer, pengarah, pekerja teknikal, pekerja sokongan dan pelakon bagi memastikan hak dan kebajikan mereka dijaga.

Di mana-mana negara, pemerintah tidak menyekat penubuhan persatuan industri termasuk industri perfileman.

AS yang terkenal dengan jenama sinema Hollywood - iaitu industri perfileman tertua di dunia - boleh dijadikan contoh dengan kewujudan ratusan pertubuhan mewakili pelbagai sektor.

Pertubuhan-pertubuhan itu diwujudkan bagi mewakili semua pihak seperti Academy of Motion Picture, Arts and Sciences, American Film Institute, Motion Picture Association, Directors Guild of America, Writers Guild of America dan American Society of Cinematographers.

Selain itu terdapat juga persatuan yang ditubuhkan bagi mewakili profesion tertentu seperti pengkritik filem dan genre tertentu seperti filem bebas atau indie.

Antara pertubuhan yang terkemuka ialah American Film Institute (AFI) yang memperjuangkan imej bergerak sebagai satu bentuk seni kreatif. Ia ditubuhkan pada 1967 dan merupakan NGO yang menjadikan pendidikan sebagai misi utamanya.

Lahirkan banyak nama besar

Program yang dilaksanakan AFI bertujuan melahirkan artis dan penonton berilmu melalui sesi apresiasi filem. Salah satu program mereka yang terkenal ialah AFI Conservatory yang mula dilaksanakan pada 1969.

Program itu menawarkan ijazah sarjana dalam enam disiplin iaitu sinematografi, pengarahan, suntingan, penerbitan, rekaan penerbitan dan penulisan lakon layar.

Lulusan program berkenaan terdiri daripada tokoh veteran dan muka baru.

Andrea Arnold misalnya pernah memenangi anugerah Academy melalui filem pendeknya berjodol Wasp pada 2005.

Selain itu pengarah kelahiran Britain itu juga menghasilkan filem seperti Red Road, Fish Tank dan American Honey. Ketiga-tiga filem itu pernah memenangi hadiah juri pada Festival Filem Cannes.

Seorang lagi alumni AFI Conservatory ialah pengarah veteran David Lynch yang pernah menerima anugerah kehormat Academy pada 2019 selain anugerah Palme d’Or di Cannes.

Selain latihan, AFI turut menganjurkan program lain termasuk pameran sepanjang tahun di AFI Silver Theatre and Cultural Center dan AFI Awards untuk karyawan filem dan televisyen.

UK yang melahirkan banyak nama besar dalam industri filem seperti Sean Connery, Roger Moore, Maggie Smith, Michael Caine, Daniel Day-Lewis dan Gary Oldman serta filem besar seperti Harry Potter dan James Bond juga membuka ruang seluas-luasnya kepada penggiat industri mewujudkan pertubuhan bagi menjaga kepentingan mereka.

Sean Connery

Pertubuhan yang mewakili pelbagai sektor pemegang taruh dalam industri filem UK itu termasuk British Federation of Film Societies, British Film Institute, The British Kinematograph, Sound and Television Society, Directors Guild of Great Britain, The British Screen Advisory Council dan British Society of Cinematographers.

Semua pertubuhan itu mempunyai satu tujuan iaitu menyumbang kepada pembangunan industri filem negara terbabit.

British Federation of Film Societies (BFFS) yang diasaskan pada 1932 juga bergerak atas nama Cinema For All sejak 2014 apabila didaftarkan sebagai sebuah syarikat.

Persama pertama ditubuhkan

Antara pengasasnya ialah Anthony Asquith yang terkenal dengan filemnya Pygmalion (1938) dan John Grierson yang mencipta istilah "documentary" pada 1926 ketika membicarakan filem Moana arahan Robert Flaherty.

Flaherty juga mengarahkan Nanook of the North (1922), dokumentari pertama yang mencapai kejayaan secara komersial.

Berbicara mengenai industri perfileman di UK, sebuah lagi pertubuhan yang wajar disebut ialah British Film Institute (BFI). Ditubuhkan pada 1933 di bawah pembiayaan Jabatan Digital, Kebudayaan, Media dan Sukan UK, BFI mempunyai arkib filem terbesar di dunia iaitu BFI National Archive yang sebelum ini dikenali sebagai National Film Library (1935–1955), National Film Archive (1955–1992), dan National Film and Television Archive (1993–2006).

Arkib itu menyimpan lebih 50,000 filem cereka, lebih 100,000 filem bukan cereka dan kira-kira 625,000 program televisyen.

Selain program pembangunan industri, BFI juga aktif dalam penerbitan siri televisyen secara usaha sama dengan British Broadcasting Corporation (BBC).

Program yang diterbitkan dengan menggunakan bahan daripada BFI National Archive itu termasuk The Lost World of Mitchell & Kenyon, The Lost World of Friese-Greene, dan The Lost World of Tibet.

P Ramlee

Di Malaysia, pertubuhan industri kreatif juga banyak ditubuhkan sejak era Malay Film Productions, Shaw Brothers dan Cathay-Keris di Singapura, Studio Merdeka di Kuala Lumpur sehinggalah ke era pasca-Studio Merdeka.

Persatuan pertama yang ditubuhkan ialah Persatuan Artis Filem Malaya (Persama). Ia diasaskan pada 1950 hasil cetusan idea dan sokongan para wartawan iaitu Abdullah Hussain, Usman Awang dan Hassan Hashim, dan dipimpin oleh P Ramlee sebagai presiden, Salleh Ghani (setiausaha kehormat) dan Jamil Sulong (bendahari).

Usia Persama tidak lama. Ia dibubarkan pada 1960 kerana berhadapan krisis membabitkan pembayaran gaji antara pelakon dengan majikan.

Kelompongan akibat pembubaran Persama berlarutan selama 14 tahun sehinggalah tertubuhnya Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pada 1974.

Dipimpin oleh pengasasnya Zainuddin Zimbo sebagai presiden pertama, Seniman beroperasi di sebuah banglo sumbangan kerajaan di persimpangan Jalan Yap Kwan Seng - Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Satu demi satu persatuan ditubuhkan

Bagaimanapun, pejabat itu dikembalikan kepada kerajaan apabila pendaftaran Seniman dibatalkan akibat konflik dalaman.

Seniman dihidupkan semula pada 1989 di bawah kepimpinan Rahim Razali selaku presiden dan Baharuddin Haji Omar menjadi timbalannya.

Kini Seniman diterajui Zed Zaidi dan barisan pemimpin muda bagi meneruskan misi perjuangannya membela nasib para pelakon tanah air.

Syarikat penerbitan filem juga tidak ketinggalan memperjuangkan kepentingan masing-masing dalam industri perfileman tempatan. Pada 1980, Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) ditubuhkan dan diketuai oleh Syed Kechik Syed Mohamed sebagai presiden.

Antara sumbangan penting PFM (kini dikenali sebagai Persatuan Penerbit Filem Malaysia) ialah memperjuangkan rebat cukai dan skim wajib tayang kepada penerbit filem tempatan serta pembabitannya dalam pembentukan Dasar Filem Negara yang diluluskan kerajaan pada awal 2005.

Sepuluh tahun selepas penubuhan PFM, sekumpulan pengarah filem dan drama televisyen diketuai oleh Mahadi J Murat menubuhkan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Dipimpin oleh Mahadi sebagai presidennya yang pertama, jawatankuasa awal FDAM dibarisi para pengarah ternama seperti Yusoff Mohamed, Arif Karmahani, Nurhalim Ismail, Roslee Jalil, Anwardi Jamil dan Shuhaimi Baba.

Pada 1993 pula para pekerja filem daripada jurukamera sehingga pekerja rencam menubuhkan Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM) yang kini dikenali sebagai Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima).

Dipimpin oleh Khir Mohd Noor sebagai presiden, Profima kini merupakan persatuan terbesar dengan lebih 8,000 ahli berdaftar.

Sebagai pencetus idea sesuatu karya filem atau drama, para penulis skrip juga tidak ketinggalan mengikut jejak karyawan lain menubuhkan persatuan.

Gambar hiasan

Dipimpin oleh penulis skrip drama bersiri Opah terbitan Radio Televisyen Malaysia iaitu A Wahid Nasir sebagai presiden, Persatuan Penulis Skrip Malaysia (Swam) didaftarkan secara rasmi 1996.

Penulis sendiri turut terlibat mengasaskan Swam serta memegang jawatan timbalan presiden. Bagaimanapun pada 2005, namanya ditukar kepada Persatuan Penulis Skrin Malaysia.

Namun konflik dalaman menyebabkan Swam terkubur dan pada 2013 tertubuhlah Persatuan Penulis Kreatif Malaysia yang membuka keahliannya kepada semua penulis industri kreatif termasuk penulis sastera.

Juga wajar disebut penubuhan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) pada 1985 bagi menggabungkan kesemua persatuan perfileman di bawah satu bumbung.

Namun konflik sesama ahli gabungan menyebabkan beberapa persatuan termasuk FDAM mengundurkan diri.

FDAM yang kini memasuki usia 30 tahun dilihat semakin aktif melaksanakan program pemartabatan kerjaya pengarahan. Dengan lebih 1,300 ahli di bawahnya, FDAM di bawah pimpinan Ahmad Ibrahim sebagai presiden kini sudah melebarkan skop aktivitinya dengan menceburi bidang pendidikan.

Projek terbaru yang bakal dilaksanakan merupakan usaha sama antara FDAM dengan Point of Education Sdn Bhd, pemilik Point College, bagi mengendalikan Point FDAM College yang menawarkan kursus pengajian seni, perfileman dan penyiaran pada peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan PhD.

Satu memorandum persefahaman telah ditandatangani pada 10 Feb lepas dan pengambilan pertama dijangka dibuat pada Sept ini.

Dengan tertubuhnya Point FDAM College, ia menjadi institusi pendidikan kedua ditubuhkan oleh persatuan industri bagi melahirkan tenaga profesional untuk industri kreatif.

Institusi pertama ialah IACT College yang ditubuhkan pada tahun 1970-an oleh Malaysian Advertisers Association dan Association of Accredited Advertising Agents Malaysia (4As).

Langkah FDAM menyertai industri pendidikan sudah pasti dialu-alukan bukan sahaja oleh ahli persatuan ini tetapi juga remaja dan lepasan sekolah yang berminat menyertai industri kreatif tempatan.

Penggiat industri juga pasti meletakkan harapan tinggi kepada Point FDAM College bagi melahirkan tenaga profesional yang mampu melonjakkan industri kreatif negara ke tahap yang lebih tinggi.


MOHAMAD LETFEE AHMAD ialah anggota Majlis Kerja Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.