Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak bertegur sapa dek Salina, Mona terdetik rasa salah pilih suami

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Rasa teruja Mona Allen menerima tawaran berlakon di samping suaminya, Pekin Ibrahim, berubah sekelip mata apabila dia tiba-tiba dilayan seperti orang asing hampir sebulan gara-gara Salina.

Kata Mona, selama menjalani penggambaran di bawah arahan Raja Mukhriz itulah dia dan Pekin tidak bertegur sapa, hinggakan terdetik dalam hatinya bahawa dia sudah tersalah pilih suami.

Menurutnya, usia perkahwinan mereka baru saja mencecah kira-kira lapan bulan ketika itu namun Pekin mula ‘menunjuk taring.’

“Ketika terima tawaran Salina saya gembira sangat, terutama apabila dimaklumkan berpeluang untuk berlakon pertama kali filem genre thriller psikologi bersama suami.

"Ingatkan dapat minta tunjuk ajar daripada dia, tapi lain pula hal yang berlaku.

“Sepanjang jalani penggambaran tu, kami - walaupun suami isteri - ibarat bergaduh. Pekin langsung tak nak bercakap dengan saya sama ada dari masuk kereta untuk pergi ke lokasi penggambaran sampai tiba di rumah semula," katanya.

Keadaan itu kata Mona berlaku setiap hari dan berlarutan hampir sebulan.

Apabila duduk makan semeja dengan Pekin, kata Mona, mereka juga tidak bertegur sapa.

Enggan alami pengalaman sama

"Saya 'stres gila' sampai terfikir: adakah aku dah tersalah pilih suami?” katanya semasa ditemui pada majlis tayangan Salina di e-Curve di Mutiara Damansara, Petaling Jaya malam tadi.

Pemilik nama penuh Munna Hafiraneza Allen itu menjayakan watak Salina, seorang guru yang kelihatan baik dan penyayang namun menyimpan banyak rahsia dalam dirinya.

Suatu hari, Salina diminta untuk mengambil cuti oleh pengetua sekolahnya.

Ketika bercuti itulah dia dimaklumkan mewarisi sebuah banglo milik mak ciknya dan bertemu tiga kanak-kanak misteri - Emy, Ema dan Idy.

Pekin yang membawakan watak Rizal adalah rakan Salina yang turut berperanan membantu guru terbabit menguruskan rumah berkenaan.

Sejak itu, pelbagai kejadian aneh berlaku apabila Salina menyatakan hasratnya untuk menjaga kanak-kanak berkenaan buat sementara waktu.

Salina dijadual menjengah seluruh pawagam tanah air bermula 25 Mac ini. Ia turut dijayakan bersama oleh Alicia Amin, Sharifah Shahora, Aleeza Kasim dan Badrul Muhayat.

Untuk rekod, Pekin dan Mona mendirikan rumah tangga pada awal Dis 2018.

Enggan melalui pengalaman berulang, Mona, 36, berkata sekiranya dalam waktu terdekat ada produksi lain menawarkan watak yang memerlukan dia bergandingan sekali lagi dengan Pekin, dia terpaksa menolaknya.

“Watak tu berat, perlu bermain emosi yang betul. Tapi sejujurnya saya dah jadi tak berapa nak suka berlakon dengan Pekin sebab susah.

"Apabila berlakon, Pekin berubah jadi orang lain membuatkan jiwa kami macam tak serasi,” katanya.

Hanya selepas penggambaran berakhir, kata Mona, barulah dia berani mendekatkan diri pada Pekin dan bertanya apa yang berlaku.

Pekin pula menjelaskan, sememangnya dia sudah merancang dari awal untuk 'melayan' Mona sedemikian supaya isterinya itu dapat menjiwai watak Salina dengan sebaik mungkin.

Katanya, rancangan itu - yang langsung tidak dihidu Mona - dilakukan dengan persetujuan Raja Mukhriz.

“Saya tak mahu Mona berasa selesa hanya kerana dia berlakon dengan saya dan di bawah arahan kawan saya.

“Nak berbincang fasal skrip pun kami terpaksa bincang belakang (tanpa pengetahuan Mona). Memang saya tak bercakap dengan dia, konsepnya kau adalah kau, aku adalah aku," kata Pekin.

Jika ada masa perlu menegur Mona, kata Pekin, dia akan meminta Raja Mukhriz menjadi perantara dan selesaikan isu yang timbul agar rumah tangga mereka tidak bermasalah.