Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada Kata Secantik Bahasa jadi puji selawat di tangan Hijjaz

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bermula daripada ilham di Madinah, kumpulan Hijjaz mula menggubah lirik Tiada Kata Secantik Bahasa 2020 (TKSB 2020) garapan Allahyarham P Ramlee.

Dari situ lahirlah sebuah karya klasik dengan nafas baru - daripada lagu yang terhad memuji wanita kepada gubahan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW.

Tidak itu saja. Hijjaz turut menerapkan unsur rap dan hip hop ke dalam lagu tersebut dengan harapan ia lebih mudah diterima ramai sekali gus mengalirkan pahala kepada pencipta asal lagu berkenaan.

“Saya fikir kenapa tidak jika lagu tu diubah menjadi selawat. Idea datang sewaktu saya berada di Madinah sekitar 2018. Masa tu hasrat saya adalah untuk tukar lirik yang memuji wanita kepada memanjatkan selawat ke atas Rasulullah.

“Diharap karya tersebut dapat jadi ladang pahala bukan saja kepada pendengar yang berselawat, malah mengalir kepada Allahyarham P Ramlee,” katanya.

Untuk rekod, selain Isman, Hijjaz turut dianggotai oleh Munif Ahmad, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Arin Ahmad Rahim.

TKSB 2020 menyaksikan kolaborasi julung kalinya kumpulan nasyid yang ditubuhkan sejak 1997 itu bersama tiga bakat muda iaitu duo rap terkenal tanah air, Kmy Kmo dan Lucka Sickta serta bekas peserta program realiti Mentor musim ketujuh, Pasya.

Bersedia jika ada yang mempertikaikan tindakan kumpulan itu menyanyikan semula lagu tersebut, Isman berkata, mereka tidak beranggapan ia sebagai satu kesalahan.

Bagi Isman, Hijjaz cuma inginkan sebuah lagu yang sudah biasa menjadi halwa di telinga pendengar apatah lagi mereka memerlukan wow factor selepas sekian lama tidak tampil dengan sebarang buah tangan terbaru.

“Lagu baru mungkin memerlukan sedikit masa untuk diterima. Kami juga tak nafikan antara sebab mengapa memilih lagu P Ramlee adalah kerana lagunya sudah melekat di hati kebanyakan pendengar.

“Kami tak kisah sekiranya ada yang mempertikaikan tindakan kami. Kami tak lakukan kesalahan pun, sebaliknya hanya ingin ajak peminat berselawat bersama-sama.

“Malah ketika kami perdengarkan lagu tu kepada golongan lebih berusia, ramai yang suka malah ada hingga mengalirkan air mata,” katanya.

Kata Isman, Hijjaz - yang sebelum ini pernah popular melalui lagu Sumayyah - berkolaborasi dengan penyanyi rock dan rap kerana tidak mahu nasyid kekal pada takuk sama.

“Kami sebenarnya cuba bawa kelainan, sebab tu kami berkolaborasi dengan penyanyi rock dan rap.

“Selepas ini kami merancang untuk jalin lebih banyak kolaborasi, antaranya mungkin dengan Joe Flizzow dan SonaOne pula supaya muzik nasyid akan lebih bersifat universal dan diterima semua lapisan masyarakat,” katanya.