'Penulis skrip dulu, halaman kelima sudah buat kita tertawan'
Melangit pujian yang diberikan pelakon disegani tanah air, Sofea Jane terhadap penulis skrip drama dan telemovie pada zaman dahulu.
Mengimbau kenangan sewaktu dia aktif berkecimpung dalam dunia lakonan drama televisyen sekitar 1990-an, cerita Sofea, cara bekerja dunia lakonan pada waktu itu berbeza dengan cara bekerja sekarang.
“Saya ingat lagi, kalau saya diberi naskhah… pada waktu itu lainlah cara bekerjanya, kerana dia akan telefon, ‘kita nak hantar skrip, kalau Sofea suka ke tidak’.
“Baca dulu (skrip). Bukan skrip hari ini, esok shoot (mulakan penggambaran) … bukan WhatsApp skrip,” katanya dalam siri audio siar HeKayat semalam yang mengimbau 30 tahun pembabitannya dalam dunia lakonan negara.
Begitu hebatnya karya pada zaman itu, kata Sofea, dia boleh tertawan dengan skrip yang dihantar kepadanya, hanya setelah membaca lima muka surat sahaja daripada jilid skrip yang tebal itu.
“Bila saya dah baca halaman kelima, keenam, ‘okey, saya nak buat’.
“Sebab halaman kelima pun saya dah jatuh cinta. Begitulah berkuasanya tulisan mereka pada waktu itu,” katanya santai bersama pewawancara Hasmi Hashim, atau turut dikenali dengan nama pena Buddhi Hekayat itu.
Cerita pemilik nama sebenar Sofia Jane Hisham itu, pada sekitar waktu itu, dia lebih meminati membintangi drama televisyen berbanding filem kerana “jatuh cinta” dengan naskhah drama yang kukuh, terutamanya yang disiarkan di RTM.
Sementelah, katanya, pada waktu itu, kebanyakan penulis skrip in-house daripada RTM pun ada yang memang mempunyai pengalaman bekerja dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, menyebabkan penulisan karya mereka begitu berkualiti.
“Cukup bagus. Tip-top,” puji anak kacukan Melayu dan Inggeris itu.
“Peranan penulis-penulis skrip pada waktu itu sangat luar biasa. Saya amat menghormati mereka-mereka yang di belakang tabir ini,” kata pelakon dan model itu lagi.
Sofea mula berlakon sebagai pelakon sampingan dalam drama-drama televisyen, sebelum diberi kepercayaan memegang watak utama dalam sebuah drama televisyen berjudul 20 Tahun Berbeza.
Baru berusia 19 tahun dan masih hijau pengalaman berlakon, Sofea menggambarkan pengalaman pertama memegang watak utama itu ibarat “berdepan gergasi”, apabila digandingkan dengan nama-nama besar seperti Maznah Hamid, Yusof Wahab dan Harun Hashim.
“Selepas saya mendapat watak utama itu, saya tidak berpaling ke belakang lagi. Saya kata, this is what I want. Saya ingin menjadi seorang pelakon.
“Tapi saya harus mengasahkan bakat saya,” katanya lagi.
Sofea menyifatkan filem Hary Boy (1991) arahan AR Badul sebagai filem yang benar-benar melonjakkan namanya dalam dunia perfileman tanah air.
Pada 1993, dia membintangi filem kontroversi arahan U Wei Saari Perempuan, Isteri, dan … (nama asal karya ialah Perempuan, Isteri dan Jalang).
Pada tahun 1993 juga, Sofea merangkul Anugerah Pelakon Filem Wanita Popular serta Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang-Bintang Popular 1993.
Filem lain lakonan Sofea ialah Mira Edora (1990 - juga filem pertamanya), Interlud (1991), Nadia (1992), Kekasih Awal dan Akhir (1993), Cinta Kita (1995), Sayang Salmah (1995), Jimi Asmara (1995), Suratan Kasih (1996), Puteri Gunung Ledang (2004), Susuk (2008), Hanyut (2016), dan Bu, Kasih Suci (2019).
Selain diingati dengan lakonan hebatnya, nama Sofe Jane turut diabadikan sebagai judul lagu nyanyian Black (2011).
Malah, nama aktres jelita itu turut melekat sebagai nama julukan Air Terjun Kubang Gajah di Kemensah, Selangor, iaitu salah satu lokasi filem lakonannya dalam filem Cinta Kita. Air terjun itu sangat terkenal dengan nama Air Terjun Sofea Jane.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai