Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemuzik indie M'sia bergelut hasilkan karya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Album pertamanya dalam format CD ‘Warga’  terbit pada 2010. Tetapi penyanyi folk Azmyl Yunor mengambil masa 10 tahun untuk habis menjual 1,000 unit album tersebut.

“Album saya ‘Warga’ 2010 - agak popular, orang dalam komuniti suka muzik itu, tetapi saya rasa, album itu habis terjual 1,000 salinan hanya pada tahun lepas.

“Jadi itu jangka masa penjualan album untuk saya: 10 tahun,” cerita Azmyl dalam wawancara telefon bersama Malaysiakini.

Itu tidak menghentikan perjalanan pemuzik indie berusia 44 tahun itu.

Dia baru sahaja menerbitkan video muzik untuk single terbarunya, ‘Penghasut Blues’, yang dikeluarkan di tengah perbicaraan kes korupsi membabitkan bekas pemimpin-pemimpin negara.

Single itu daripada album 2020nya, ‘John Bangi Blues’.

Kecekalan Azmyl itu memberikan gambaran tentang cabaran yang harus dihadapi pemuzik bebas, dan azam yang harus ada untuk mereka tetap dengan matlamat kreatif mereka dalam menghasilkan muzik.

Ini meskipun berdepan ekosistem yang tidak begitu menyokong, selain pasaran pendengar yang kecil.

Seorang lagi pemuzik indie, Bihzhu memberitahu Malaysiakini, hanya bermula lewat tahun lepas, barulah stesen radio berbahasa Inggeris utama negara mula memutarkan lagu-lagu Inggeris tempatan secara kerap.

“Ekosistem sekitar muzik indie (di Malaysia) tidak dibina untuk membantu kami berjaya. Bukan hanya muzik, begitu juga untuk teater, pawagam dan sebagainya.

“Setiap kali dapat menteri baru, atau bertukar kerajaan, mereka tidak melihat seni sebagai sebahagian pekara penting dalam pembinaan bangsa,” luah pemuzik berusia 37 tahun itu.

Dia baru sahaja mengeluarkan single terbaru ‘Alive’ pada Januari.

Dia mengambil Korea Selatan sebagai contoh satu kerajaan yang begitu agresif mempromosikan kesenian negara mereka ke persada dunia.

Perkara itu memberi manfaat kepada Korea Selatan dalam banyak hal, apabila kejayaan muzik pop Korea, dramanya, dan filem-filem seramnya membantu membentuk imej positif negara itu.

Menggambarkan keadaan itu sebagai situasi ’ayam-dan-telur’, Bizzhu berkata kekurangan sokongan bersistem buat artis tempatan mendorong sikap acuh tidak acuh dalam kalangan pendengar terhadap pemuzik tempatan, dan begitu juga sebaliknya.

Selain itu, Azmyl yang bekerja sebagai pensyarah turut menambah, ‘Big Tech’, atau syarikat teknologi seperti Google dan Facebook serta algoritma mereka turut memainkan peranan dalam mengekang pendedahan terhadap artis bebas tempatan.

“Bakat bukan satu masalah di dalam negara ini, tetapi artis perlukan pendedahan.

“Kapitalisme menjahanamkan kuasa artis. Artis dilumpuhkan oleh struktur ekonomi ini,” katanya.

Wartawan dan pemuzik Martin Vengadesan (gambar, bawah) pula berkata pasaran muzik tempatan, terutamanya yang berbahasa Inggeris, memang sedia kecil sejak sebelum wabak Covid-19 lagi.

“Ketika saya bermula sebagai wartawan hiburan pada pertengahan 1990-an, BMG sendiri pernah mempunyai 100 orang artis yang stabil, dan muzik Inggeris tempatan oleh OAG, Butterfingers, Too Phat, dan sebagainya, pernah mencatat jualan yang baik - sekitar puluhan ribu unit.

“Malangnya, susah nak dapat angka sebegitu sekarang, walaupun dengan nama-nama besar seperti Yuna dan Zee Avi,” katanya yang gemarkan muzik bernuansa rock psychedelic itu.

Orang sudah tidak membeli kaset atau cakera padat (CD) lagi. Bayaran hasil penstriman muzik juga teruk - pengguna dengar beribu kali, baru dapat memberi hasil beberapa ringgit kepada artis.

“Kos penghasilan CD adalah lebih RM10,000. Jadi jika anda penghibur bebas, ia merupakan kerja merugikan yang anda buat atas dasar cinta dan kepuasan,” kata Vengadesan.

Vengadesan - seorang pemain keyboard baru mengeluarkan album ketiganya, ‘The Knight’s Flight’ yang mengandungi 14 lagu bersama projek Martin Vengadesan & The Stalemate Factor. 

Projek itu turut menampilkan wartawan juga pemuzik NR Lohan (gitar), Edward Gomez (bass) dan Andrew Sagayam (dram).

Meskipun mengakui penghasilan muzik original merupakan minat yang mahal, tetapi bagi Azmyl, dia telah belajar bagaimana dia harus bijak menguruskan wang sejak dia memulakan karier muziknya pada lewat 1990-an.

Contohnya, muzik video terbarunya ‘Penghasut Blues’ dihasilkan dengan bajet kecil. Penggambarannya hanya dilakukan di pejabat rakannya sendiri, selain lot parkir bangunan tersebut.

Kata Vengadesan, hampir semua yang menghasilkan muzik indie original di Malaysia mempunyai punca pendapatan selain menjual muzik, terutamanya sejak babak muzik pentas terkekang oleh wabak Covid-19.

“(Muzik) nak sampai kepada orang semakin susah kerana sekarang kami tidak boleh buat live show lagi. Mungkin ada yang mampu buat video promosi, tapi itu pun menelan bajet tambahan yang anda takkan dapat semula,” katanya.

Pemuzik Malaysia, katanya, selalunya terperangkap dalam situasi di mana mereka tidak dapat mengembangkan karya sendiri - dengan selalunya terlibat dalam kumpulan yang memainkan lagu orang lain, mengajar atau membuat kerja-kerja penerbitan iklan untuk syarikat pengiklanan atau media.

Hal itu diakui Bihzhu, yang mendakwa kebanyakan hasil yang diperolehi daripada muzik hanyalah dalam satu atau dua tahun sahaja daripada 10 tahun pembabitannya dalam kerjaya muzik solo.

“Saya pun pelbagaikan hasil pendapatan, sebab saya sedar, walaupun saya mahu bergantung pada muzik sebagai punca rezeki, ia memberi banyak tekanan kepada saya dan menjejaskan kreativiti saya,” katanya.

Meskipun berdepan semua cabaran itu, Azmyl menasihatkan pemuzik indie untuk tidak mengalah dan mencari erti di sebalik matlamat mereka menceburkan diri dalam dunia muzik.

Bizhu pula mengaku, dia lebih teruja menghasilkan muzik sekarang, berbanding ketika mula-mula bermula sebagai pemuzik 16 tahun dahulu.

Single-nya ‘Alive’ terbit ketika wabak Covid-19 melanda tahun lalu. Katanya, ketika itu dia rasa terbelenggu dengan rutin, dan mahu mencari jalan “menikmati hidup sekali lagi”.

“Ramai orang kata sokonglah kami kerana kami ini orang tempatan. Tapi saya kata, sokonglah kami kerana kami ini bagus.

“Rakyat Malaysia sangat-sangat berbakat,” katanya.

[Baca laporan asal]