Skip to main
Logo Malaysiakini

Selipar 'mesra Muslim': Fipper mohon maaf buat orang ramai keliru

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Syarikat selipar tempatan Fipper tampil memohon maaf susulan kontroversi produk koloborasi dengan selebriti Noor Nelofa yang dikatakan seabagai "mesra Muslim".

Menurut Fipper, apa yang dimaksudkan dengan istilah itu adalah produk itu dihasilkan sesuai untuk kegunaan Muslimah.

“Pihak Fipper ingin memberi penjelasan berkenaan isu mesra Muslim yang tular di media sosial ketika ini.

“Produk slip on Fipper X The Noor sesuai untuk kegunaan Muslimah yang memakai stoking. Ia kerana produk kami sebelum ini kurang bersesuaian dengan imej Muslimah berstoking seperti dinyatakan dalam siaran akhbar sebelum ini.

“Pihak Fipper ingin memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku,” kata Fipper dalam kenyataan.

Pada 5 April lalu, Fipper melancarkan produk slip on Fipper X The Noor, satu kolaborasi yang dijalin bersama Neelofa di Putrajaya.

Noor Neelofa

Namun, istilah "mesra Muslim" yang dikaitkan dengan selipar tersebut dipertikai segelintir pihak antaranya kerana reka bentuknya yang lebih kurang dengan selipar sedia ada di pasaran.

Ada juga pihak yang menggesa jenama itu diboikot kerana menurut mereka mempergunakan agama untuk melariskan produk.

Nama Neelofa sejak akhir-akhir ini sering mengundang kontroversi selepas majlis pernikahannya didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Selain itu, pelakon berkenaan turut mencetus rasa tidak puas hati ramai pihak selepas pergi ke Pulau Langkawi, Kedah bersama suami, Haris Ismail, sebaik perkahwinan mereka.

Mereka menegaskan ke sana atas urusan kerja tetapi ramai pihak mendakwa pasangan itu melanggar kebenaran rentas negeri yang diberikan untuk berbulan madu.

Kedua-dua kes itu masih disiasat polis.