Kebanjiran penyanyi tak berbakat dah jadi macam sebuah ekosistem - Syafinaz
Sedih - demikian luahan jurulatih vokal dan penyanyi, Syafinaz Selamat, apabila melihat industri tempatan dibanjiri pendatang baru yang bukan berdiri atas bakat sendiri sebaliknya bersandarkan populariti semata-mata.
Lebih teruk, kata Syafinaz, ia sudah menjadi seperti sebuah ekosistem apabila ada penyanyi yang kurang berpotensi untuk menyanyi di pentas tetapi masih mendapat sokongan daripada peminat-peminat setia mereka.
Keadaan itu menurutnya, menjadi lebih parah apabila lagu-lagu sekadar tangkap muat sering mendapat ruang untuk diputar di stesen radio atau televisyen tempatan.
“Saya sedih sebab saya lakukan ini (kerjaya dalam bidang nyanyian) kerana cintakan muzik, tapi ramai yang terkenal mampu meraih jumlah tontonan tinggi di laman sosial kerana popular. Lagu yang top pun simple sangat.
“Netizen akan merungut, tapi peminat pula masih menyokong. Stesen TV atau radio pula tahu nak buat duit dengan cari penyanyi yang ramai pengikut. Sudahnya, dah jadi macam ekosistem - kitaran tu berulang tak berhenti-henti,” katanya.
Syafinaz, 48, berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran single terbarunya, Persis Salju di Kuala Lumpur kelmarin.
Dia diajukan pertanyaan berhubung lambakan penyanyi yang kurang berkemampuan menyampaikan persembahan secara langsung di depan khalayak.
Sebagai seorang pendidik dan pada masa sama penghibur, Syafinaz mengakui dia sendiri perlu bekerja keras untuk sampai pada tahap yang dikecapinya kini.
Justeru, menurutnya - yang sering memenuhi undangan sebagai pengkritik dan juri program nyanyian - amat dikesali sekiranya ada penyanyi yang popular tidak cuba merebut peluang untuk memperbaiki diri sendiri.
“Seseorang pendatang baru wajar persiapkan diri sendiri untuk jadi penyanyi. ‘Melabur’ itu sangat penting. Saya sendiri melabur untuk belajar kelas vokal hingga ke luar negara.
“Saya bukan menidakkan rezeki sesiapa tapi manusia memang akan lakukan kesilapan. Jika tak mahu perbaiki diri, itu memang kesilapan lagi besar,” katanya.
Syafinaz juga berkata, dia menghargai apabila ada syarikat rakaman memintanya mengasah bakat artis di bawah naungan mereka.
Namun, menurutnya mereka harus memahami proses menimba ilmu bukan semudah disangka serta berbeza, bergantung kepada sejauh mana pencapaian boleh dilakukan seseorang.
“Ada label datang dan minta saya jadi jurulatih vokal artis mereka. Ada juga yang kerap kali bertanya secepat mana mereka boleh dapat hasil yang diingini.
"Mereka tanya jika boleh lihat hasilnya dalam tempoh tiga bulan misalnya.
“Jujur saya cakap, sebenarnya bukan mudah nak belajar teknik nyanyian, tak boleh nak dianggar secepat mana seseorang boleh mahir bidang nyanyian dalam tempoh masa ditetapkan begitu saja,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai