Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelakon perlu bersedia dipuja, dihina atau dilupakan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kehidupan seseorang pelakon itu sentiasa ada pasang surutnya, justeru mereka perlu bersedia untuk dipuja atau mungkin dihina serta dilupakan tatkala sudah berusia, kata Erma Fatima.

Bagi pengarah dan pelakon itu lagi, dia berpendapat tidak ada masalah untuk sesebuah stesen televisyen dan produksi menerima kehadiran pendatang baru yang diyakini boleh memeriahkan kembali industri seni.

Ketika ini, menurut Erma, produksi memag kekurangan pelakon memandangkan kesemuanya sudah ‘ditempah’ untuk mengisi slot drama atau filem hingga ke hujung tahun.

“Ada zaman kita dan ada bukan zaman kita lagi. Bakat datang dan pergi. Saat ini, kita kena buka pintu seluas-luasnya kepada bakat baru supaya industri kita meriah.

"Kita kekurangan pelakon, tak kiralah kelas A, atau B atau C sekali pun, jadual mereka semua dah penuh.

“Sekarang ni, bila produksi nak jalankan penggambaran, pengarah pula tak ada pelakon. Balik-balik muka yang sama: Syafiq Kyle, Remy Ishak atau Shukri Yahaya... lemas.

"Drama muka tu, filem pun muka tu juga,” katanya.

Situasi tersebut kata Erma berlaku kerana penggambaran pernah dihentikan buat sementara waktu bagi mengekang penularan Covid-19.

Dan bila penggambaran dibenarkan semula, katanya semuanya pihak mahu melakukan tugasan mereka secepat mungkin sama ada menerbitkan drama atau filem.

Terus cari sugar daddy

Maka katanya wajar untuk pihak berkenaan menggunakan khidmat pempengaruh (influencer).

“Sampai 300 penerbit dalam negara ni misalnya, nak berebut muka-muka yang sama ni untuk bintangi naskhah mereka,” katanya.

Erma ditemui pada pada majlis pelancaran kempen Sebuah Kehidupan di Ampang Selangor, baru-baru ini. 

Dia diminta mengulas kenyataan beberapa pelakon senior yang mendakwa terdapat pelapis tidak bersikap profesional sewaktu menjalankan tugasan mereka di set penggambaran.

Antara dakwaan tersebut ialah pendatang baru gagal berkomunikasi dengan baik sesama pelakon serta ada bersikap ‘besar kepala.’

Bagaimanapun, Erma atau nama penuhnya Fatimah Rahmad Ali, 53, menegaskan setiap bakat baru terlebih dulu perlu memasang niat yang betul sebelum mereka menceburi bidang lakonan.

Menurutnya, hanya dengan niat yang telus dapat menjamin kelangsungan karier mereka pada masa depan.

Erma turut mengingatkan agar setiap pendatang baru yang mendapat peluang menapak sebagai pelakon supaya tidak mensia-siakan tawaran yang diberi dengan mencemarkan nama industri.

“Industri ni ada dua jenis pelakon saja. Satu pelakon yang sebenar (real actor) satu lagi pelakon palsu (fake actor). Jika pelakon tu betul-betul nak berlakon, dia akan menilai dan terima tawaran yang bagus dan buat kerja bersungguh-sungguh.

“Jika sebaliknya, ni yang jenis nak cari sugar daddy atau nak tumpang glamor semata-mata. Dan tolong jangan pula masuk-masuk industri terus keluar berita skandal atau gambar bogel. Jangan rosakkan nama industri.

“Kami (penerbit) tak ada alat untuk mengukur ketelusan tu cuma dapat memberi ruang dan peluang. Dari situ, baru dapat lihat 'warna' sebenar seseorang pelakon,” katanya.