Skip to main
Logo Malaysiakini

Hattan menegur atas dasar tanggungjawab

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penyanyi legenda rock tanah air, Hattan mengakui dia lebih selesa berterus terang semasa menegur berbanding 'membawang' di belakang individu yang dimaksudkan.

Kata Hattan, teguran pula hanya dibuat sekiranya sesuatu perkara itu dilihat tidak kena serta ia bukan dibuat sembarangan tanpa disokong dengan fakta.

“Salahkah saya tegur? Jika tidak, siapa lagi nak tegur? Teguran tu atas dasar tanggungjawab, sekiranya salah, memang saya akan tegur dengan fakta.

“Saya tak mahu bila di depan semua kata baik-baik, tapi bila di belakang mula kutuk mengutuk.

“Contohnya minggu lepas saya tegur mengenai isu rentas negeri. Teguran dibuat tidak terhad untuk kalangan selebriti tapi secara umum,” katanya.

Bagi pemilik nama penuh Mohd Shukri Shahabudin itu, jika dipendam apa yang terbuku di hati, dia bimbang ia hanya akan menyebabkan sakit pada jiwa.

“Bila tegur, nampaklah keinsafan itu sikit. Tapi kalau saya tak tegur, rasa macam boleh jadi sakit jiwa,” katanya.

Hattan, 56, berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk air minuman Stobu di Petaling Jaya hari ini.

Kenyataan itu dibuat selepas dia dilihat menegur segelintir selebriti dan Instagram terkenal (Instafamous) menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang diluluskan oleh pihak berkuasa.

Penyanyi lagu Biso Bonar itu juga mengaku dia tidak kisah seandainya ada pihak yang berasa menyampah dengannya gara-gara terlalu lantang memberi teguran.

“Kalau ada orang tak suka, menyampah, suka hati merekalah.

“Dalam dunia ini pun bukan semua orang suka kita pun, mesti ada pembenci,” katanya.

Pun begitu, penyanyi yang juga terkenal dengan lagu Mahligai Syahdu itu menegaskan dia tidak berniat memberi teguran kerana ingin mematahkan semangat seseorang.

Menurutnya, apa diluahkannya itu bertujuan menjadi pembakar semangat agar individu tersebut boleh memperbaiki diri menjadi maju lagi.

“Fasal muzik contohnya, saya tegur mengenai Anugerah Juara Lagu ke-35 baru-baru ni biar kena ada peningkatan sebab ni bukan pertama kali ia diadakan.

“Dulu kita tak ada media sosial tapi sekarang muzik kita orang dengar sampai ke Indonesia, Thailand dan Singapura.

“Macam mana nak ketengahkan karya kita ke luar negara kalau tak ada kualiti. Dengan kualiti boleh jadi kaya raya. Tapi jika tiada kuliti, naik atas tapi terhempas cepat,” katanya.