Skip to main
Logo Malaysiakini

Popular perlu, tapi kejujuran lebih penting - Syafinaz

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tidak membuat kemunculan di kaca televisyen bukanlah bermaksud guru vokal Syafinaz Selamat sudah menoktahkan kariernya sebagai penyanyi.

Justeru Persis Salju menjadi bukti keberadaan Syafinaz dalam industri meskipun single itu diterbitkan selepas 20 tahun dia tidak muncul dengan sebarang buah tangan baru.

Dia yang lebih banyak aktif di luar tumpuan lensa kamera itu bagaimanapun mengakui berasa terkilan apabila wujud segelintir pihak yang beranggapan namanya seakan sudah tidak wujud lagi dalam industri.

“Bukan setakat peminat, ada juga dalam kalangan rakan-rakan yang mengenali anggap saya sekadar mengajar kelas vokal dan sudah tidak menyanyi lagi.

“Hal itu sememangnya buat saya sedih. Saya tak menyanyi secara terbuka, tapi kerap memenuhi undangan pada majlis-majlis tertentu saja. Saya harap tak terlalu lewat untuk muncul kembali,” katanya.

Syafinaz, 48, ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya, Persis Salju di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas berhubung single berkenaan, penyanyi Ingin Bersamamu itu berkata, lagu itu terpaksa ‘diperam’ selama 10 tahun sebelum diterbitkan berikutan kesibukan dan komitmennya selaku guru vokal.

Selain itu, Syafinaz berkata, pembabitannya sebagai juri program dan pensyarah di beberapa institusi pengajian tinggi turut menyebabkan keiginannya itu akhirnya terkandas di tengah jalan.

Tak nak jadi hipokrit

Akibatnya, timbul rasa malu apabila dia sering berjanji untuk tampil dengan buah tangan terbaru namun tidak berjaya melunaskan hasrat itu seperti yang diinginkan.

“Pejam celik, pejam celik, Persis Salju dah 10 tahun terperap. Ikutkan rancangan awal nak keluarkan tahun lalu. Tapi diuji pula dengan pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan.

“Serius, saya rasa malu, rasa macam pembohong, pendusta apabila mungkir janji. Tu sebab lahir kepuasan bila dapat langsai ‘hutang’ terbitkan lagu ni,” katanya.

Dia juga tidak menafikan sikapnya yang cerewet menyebabkan single ciptaan Ku Sham dan lirik oleh Zaira itu mengambil tempoh lebih lama untuk disiarkan.

“Jika boleh, saya mahukan masa terbaik dan bersesuaian, apatah lagi saya tak keluar single baru selama 20 tahun. Biarlah promosinya boleh diadakan secara menyeluruh," katanya.

Syafinaz juga berkata sebagai seorang pendidik, apabila mahu melakukan sesuatu dia akan pastikan hasilnya benar-benar bagus kerana enggan menjadi hipokrit.

“Kita tak mahu keadaan apa yang diajar kepada pelajar lain, kita sendiri persembahkan yang lain. Popular tu penting tapi jadi jujur itu lagi penting,” katanya.