Skip to main
Logo Malaysiakini

Klip video ajak berjudi tu kurang ajar, kata Ashraf

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kurang ajar - demikian reaksi pelakon Ashraf Muslim terhadap syarikat judi dalam talian yang terang-terangan mengajak umat Islam melakukan maksiat melalui klip video iklan yang mempromosi perniagaan mereka.

Ashraf yang menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu mendakwa, ia adalah antara cara anasir-anasir tertentu merosakkan Islam secara halus.

“Allahu Akbar! Makin menjadi-jadi manusia sekarang. Secara terang-terangan mengajak orang ramai buat dosa. Bulan Ramadan, bulan yang baik, bulan yang penuh rahmat Allah.

“Tapi video yang korang (kamu) tengok ni telah merosakkan bulan yang suci ini. Kurang ajarlah siapa yang terlibat dalam pembikinan video ni. Takkan tak tahu video ni pasal apa? Judilah!" katanya.

Menurut Ashraf media sosial memang menjadi tempat mudah untuk pihak yang berkenaan menyampaikan agenda masing-masing.

Bagaimanapun, Ashraf menegaskan, perkongsiannya itu bukan bertujuan untuk mempromosi sebarang iklan judi.

“Aku post video ni bukan untuk korang main judi atau nak promosi perniagaan mereka, tapi sebab nak bagitahu kepada masyarakat,” katanya.

Terdahulu tular klip video sebuah syarikat perjudian yang mempromosikan perniagaan mereka menggunakan lagu berirama hari raya dengan mengetengahkan watak lelaki memakai baju Melayu dan perempuan memakai tudung.

Tak boleh dimaafkan

Iklan itu mengajak orang awam berjudi untuk mendapatkan 'duit raya.' Ia juga menyarangkan agar orang ramai tidak susah hati dengan perbelanjaan Aidilfitri yang akan diraikan kira-kira tiga minggu lagi.

Klip video selama 2.48 minit itu tular di media sosial sejak malam tadi dan menerima kecaman netizen terutama apabila disiarkan semasa orang Islam mengerjakan puasa.

Pemilik nama penuh Muhd Ashraf Muslim, 39, itu, pada masa sama mempertikaikan sama ada pelakon yang terlibat dalam video terbabit menyedari atau tidak tindakan mereka mempromosikan judi.

“Judi itu haram. Mana Iman? Mana akidah? Ni negara Islam jangan buat onar macam ni. Aku tak tahulah yang berlakon dalam video ni sedar ke tak sedar apa yang dinyanyikan tu.

“Memang tak fikir panjang bila buat semua ni. Lepas tu berani pula ajak promosi macam ni. Jika anda Islam, menjawablah dengan Allah SWT,” katanya.

Ashraf juga berharap pihak berwajib segera mengambil tindakan bagi menghentikan perkara sedemikian.

“Kepada pihak berkuasa tolong ambil tindakan kepada mereka yang terbabit dalam video ini. Daripada yang beri idea, klien, pihak produksi, barisan pelakon, penyanyi, kru dan mereka yang terbabit dengan video ini.

“Perbuatan ini memang tidak boleh dimaafkan oleh masyarakat Islam. Tindakan ini sudah melanggar sensitiviti orang Islam dan memalukan negara yang mengamalkan agama Islam sebagai agama rasmi," katanya.

Selain Ashraf, video raya mempromosi judi itu turut mengundang perhatian PAS Wilayah Persekutuan yang menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mempromosi perjudian dalam talian ketika bulan Ramadan.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya, berkata ia mengganggu keharmonian awam kerana menggunakan pelakon yang dilihat seperti berbangsa Melayu bahkan berlatarkan suasana hari raya, iaitu hari kemenangan umat Islam. 

Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh, juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas ke atas pengeluaran lagu itu yang jelas melanggar akta sedia ada.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula berkata mereka telah berhubung dengan penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan video yang mempromosikan judi tersebut.