Skip to main
Logo Malaysiakini

Rugi lebih setengah juta pun tak patahkan semangat Shaheizy

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selain pernah ditipu, pelakon Shaheizy Sam mendakwa dia juga pernah mengalami kerugian mencecah RM500,000 sewaktu mula menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

Katanya, sejak berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan pada 2015, dia berdepan pelbagai dugaan yang sedikit pun tidak menyebabkan dia berpatah semangat untuk terus berjaya.

Menurutnya, untuk terus berjaya dalam bidang tersebut - yang menjadi sumber pendapatan keduanya - dia harus cekal.

“Saya tak boleh serik. Pada awal masuk dalam bidang ni saya hilang RM80,000. Kemudian saya kumpul lagi.

"Saya sekali lagi diuji apabila kehilangan RM500,000 pada 2018.

“Ditipu tu tak payah cakaplah. Saya bukan orang kaya, semua tu memang duit simpanan, tapi bagi saya duit bukanlah satu isu yang patut menjatuhkan seseorang dalam perniagaan jika nak berjaya," katanya.

Jika mengalami kerugian, kata pelakon Pinjamkan Hatiku itu, usaha sepenuhnya perlu dibuat untuk melangkah semula selain bersikap positif sentiasa.

Pemilik nama penuh Shaheizy Sam Abdul Samad itu ditemui pada majlis pelancaran produk makanan berasaskan coklat miliknya, Syoklat! SyokoTube di Shah Alam baru-baru ini.

Syed Mokhtar Albukhary

Menjadikan Pengerusi AirAsia, Tony Fernandez, dan hartawan terkenal Syed Mokhtar Albukhari sebagai ikon perniagaan, Shaheizy berkata dia yakin mereka juga mempunyai kesukaran dan kepayahan tersendiri sebelum berjaya.

“Kenapa mereka boleh? Semua kesusahan tu terpulang pada kita. Jangan biarkan ia menghalang sebab selalunya yang menjadi penghalang tu adalah diri sendiri,” katanya yang turut berlakon dalam filem Songlap.

Sementara itu, mengulas produk Syoklat! SyokoTube, Shaheizy berkata, sekiranya diizinkan Tuhan dan perniagaannya itu mendapat sambutan, dia berhasrat untuk meluaskan perniagaan tersebut ke seluruh Asia Tenggara.

“Jika mendapat sambutan dalam negara sudah pasti saya nak melihat perniagaan ni diperluaskan ke negara lain.

“Saya sedar makanan berasaskan coklat adalah produk yang mendapat permintaan di seluruh dunia. Justeru, saya tahu produk yang dihasilkan berpeluang pergi jauh.

“Insya-Allah, sekiranya diberi peluang dan mendapat sokongan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri saya yakin jalan untuk saya memasarkan produk selain di Malaysia lebih cerah,” katanya.