Skip to main
Logo Malaysiakini

Siti Nurhaliza selamat lahirkan bayi lelaki

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza Tarudin selamat melahirkan bayi lelaki melalui kaedah pembedahan di sebuah pusat perubatan di Selangor jam 6.21 pagi tadi.

Menurut pihak pengurusan Siti iaitu Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd, suami Siti Nurhaliza, Khalid Mohamad Jiwa menzahirkan rasa syukur kerana isterinya dan bayi mereka berada dalam keadaan baik dan sihat.

“Apa yang penting bagi Khalid adalah ibu dan anak berada dalam keadaan sihat, stabil dan proses melahirkan telah berjalan lancar.

“Dia dan isteri turut berterima kasih di atas doa keluarga, saudara mara, sahabat handai, peminat, media dan orang ramai,” katanya.

Melalui kenyataan sama, pihak Siti Nurhaliza merakamkan terima kasih kepada doktor dan jururawat yang membantu dalam proses bersalin.

“Selain itu, mereka juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak doktor dan jururawat yang diketuai oleh Dr Leong Wai Yew dari Alpha IVF & Women's Specialist yang telah menjalankan tanggungjawab dan khidmat terbaik sepanjang proses Siti melahirkan.

“Pasangan ini juga berterima kasih kepada Pengasas dan Pengarah Alpha IVF & Women's Specialists, Dr Colin Lee Soon Soo, yang menjayakan program In Vitro Fertilization (IVF),” katanya.

Dr Collin Lee turut menjayakan IVF untuk anak Siti Nurhaliza yang pertama iaitu Siti Aafiyah.

Siti Nurhaliza dan Khalid berkahwin pada 21 Ogos 2006, mereka dikurniakan cahaya mata pertama, Siti Aafiyah yang kini berusia tiga tahun.