Skip to main
Logo Malaysiakini

Dai Syed tak pandang kamera untuk elak disantau melalui mata

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ada sebab mengapa Syed Shah Iqmal atau lebih dikenali sebagai Da’i Syed tidak memandang tepat pada kamera sewaktu dia bersiaran secara langsung di media sosial.

Kata Syed Shah Iqmal, dia sengaja berbuat demikian selepas dinasihatkan ustaz bagi mengelak dirinya daripada terkena sihir atau santau yang dihantar untuk memasuki tubuhnya melalui mata.

Dakwanya, sebelum ini dia mengalami kesukaran untuk tidur selain berasakan kepalanya selalu sakit seolah-olah dicucuk-cucuk oleh sesuatu yang tidak dapat dilihat.

“Saya mengalami kesukaran untuk tidur selain selalu bermimpi yang menakutkan. Kepala juga pada masa tu seperti dicucuk-cucuk sampai terasa pedih,” katanya kepada Malaysiakini.

Jelas pemilik nama penuh Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail itu, dia kemudian didatangi bukan seorang tapi dua ustaz tidak dikenali yang menawarkan diri untuk membantu masalah yang dihadapinya.

Katanya lagi, dia berasa aneh kerana ustaz terbabit tahu masalah yang dihadapi walaupun sebelumnya ia sedikit pun tidak pernah diceritakan kepada sesiapa.

“Saya tak cari ubat atau ceritakan masalah pada sesiapa termasuk ustaz tersebut. Mereka adalah orang yang tidak saya kenali.

"Tapi tiba-tiba ustaz berkenaan hadir dan menawarkan bantuan dan mengubat saya yang dikatakan terkena sihir santau.

“Merekalah yang menasihatkan supaya saya tak pandang kamera sewaktu merakam video dan sebagainya.

“Saya diberitahu sihir atau santau yang kena pada saya dihantar melalui mata,” dakwanya.

Susulan berubat, Syed Shah Iqmal, 25, berkata keadaan kesihatannya sudah semakin pulih.

“Alhamdulillah dah ada perubahan dan saya akan terus berubat,” katanya.

Tahun lalu Syed Shah Iqmal menarik perhatian ramai apabila dihadapkan ke mahkamah beberapa kali atas pertuduhan membabitkan serangan seksual.

Dia mengaku tidak bersalah atas semua tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.