ULASAN | Masa hadapan sastera Malaysia: Satu catatan
Berkesempatan dengan ini, ingin saya mengulas serba sedikit tentang persoalan yang menjadi prihatin di kalangan penggiat dan pengkritik sastera Mahua (sastera bahasa Cina di Malaysia) dalam beberapa tahun belakangan ini.
Perbincangan seumpama ini seringkali dilihat sebagai debat antara pihak yang berpegang kepada pendirian global dan lokal. Berikut saya cuba merumuskan isu yang pernah disentuh kepada empat topik utama, dan secara tak langsung cuba menjawab persoalan yang diketengahkan dalam tajuk di atas:
Gagasan Sastera Malaysia: Perlukah pengisian baru?
Kalau mengikut definisi allahyarham Ismail Hussein, sastera Malaysia adalah merujuk kepada sastera berbahasa Cina dan Tamil sahaja. Sastera bahasa sukuan, umpamanya bahasa Iban, bahasa Kadazan dan sebagainya termasuk dalam sastera sukuan atau sastera daerah. Sastera Melayu tergolong dalam kategori yang tersendiri, yakni sastera kebangsaan.
Kalau kita lihat dari hakikat sastera Malaysia sebagai satu kesatuan yang bersepadu, maka hubungan sastera pelbagai kaum dan etnik itu sebenarnya amat intim kerana ia terbentuk melalui pengalaman sejarah Malaysia yang sama, khususnya sejarah moden yang diharungi bersama sejak kehadiran penjajahan Barat di rantau ini.
Semenjak itu, nasib imigran telah diikat bersama dengan penduduk pribumi untuk menghadapi gelombang kapitalisme Barat yang didatangkan bersama dengan kuasa imperialisme.
Kini hampir tujuh dekad Malaysia berdiri sebagai negara berdaulat, justeru timbul persoalan: apakah perlu gagasan sastera Malaysia itu diberikan pengisian baru sejajar dengan kehidupan sosial dan budaya masa kini?
Bagi pengkritik dan budayawan Mahua, jawapan kepada persoalan tersebut tidak harus menyisihkan hakikat kesinambungan sejarah secara holistik dan pembangunan jati diri bangsa sewajarnya berkembang mengikut arus zaman.
Disebabkan perubahan (ubah dan ganti) adalah hakikat dan hukum alam itu sendiri, maka sambutan manusia ialah mendepani dan menanganinya, bukan mengambil sikap berkonfrantasi.
Sastera Malaysia sebagai ‘polysystem’
Sastera Malaysia wajar dilihat sebagai sastera aneka sistem (polysystem) kerana memang sedia wujud satu jaringan yang merangkumkan semua sistem sastera yang terdapat di dalamnya.
Dan jaringan itu dibangunkan atas institusi nilai yang seolah-olah mencapah tetapi sebenarnya berpadu (unity in diversity).
Teori yang dikemukakan oleh Itamar Evan-Zohar (bawah) menekankan hubungan yang wujud antara pelbagai sistem sastera itu. Malah ia tidak menafikan peranan terjemahan sebagai suatu saluran penting yang mencorakkan hubungan tersebut.
Dalam konteks ini, sastera Malaysia menepati gagasan polysystem yang dianjurkan.
Bertolak dari hakikat ini, sastera Malaysia seharusnya lebih banyak berkomunikasi sesama anggota dalam polysystem tersebut daripada berkembang membawa hala tuju sendiri.
Keperibadian sastera
Sastera mempunyai keperibadiannya yang tersendiri. Ia tidak boleh diperlakukan melalui pendekatan politik. Walaupun sastera tidak dapat lari sebagai suatu bentuk ideologi, namun ia tidak harus mengatasi nilai estetik yang menjadi terasnya.
Ertinyanya, karya sastera berbeza dengan penulisan umum, aspek estetik itu harus diberi keutamaan dan inilah yang akan menentukan kenakatan (survival) sesebuah karya yang berupaya merentasi batasan zaman, daerah, bangsa dan negara.
etapi ini tidak bermakna sastera boleh dibatasi oleh ideologi sempit dan bersifat eksklusif kerana ini akan menjadikan sastera itu kelihatan lancung sekali gus kurang meyakinkan.
Dalam dunia zaman kini dengan angkasa yang terbuka kepada dunia luar, minda terkawal dan dikawal seharusnya digantikan dengan semangat persaingan ke arah yang positif dan kesetiakawanan hakiki.
Sastera Malaysia: Situasi masa kini dan saranan
Sastera Malaysia harus berusaha melepaskan diri daripada pengaruh milieu/suasana era pascakolonial yang memberi banyak penekanan kepada segmentasi dan pemilikan secara mutlak ke atas sesuatu sumber, sama ada sumber abstrak ataupun konkrit.
Tanggapan Frederic Jameson tentang Sastera Dunia Ketiga (Third World Literature) yang diceramahkan kepada warga sastera China di Peking University, Beijing pada tahun 1986 barangkali boleh kita renungi dan ambil iktibarnya.
Jameson melihat sastera Dunia Ketiga, termasuk sastera moden China sebagai penulisan allegori kebangsaan (national allegory).
Beliau mengambil contoh karya Lu Hsun @ Lu Xun (bawah), sasterawan besar China moden sebagai mencerminkan hasrat rakyat China menuju ke arah pembangunan sebuah negara moden mengikut kaca mata Barat.
Lantas hujah beliau mencetuskan pertikaian dan polemik hangat di kalangan sarjana dan pengkritik sastera China sendiri kerana label allegori kebangsaan itu dilihat berniat jahat dan sengaja merendah-rendahkan kedudukan sastera moden China daripada perspektif seni sastera, sekali gus menafikan keupayaan sastera moden China dalam kerangka besar sastera sedunia.
Wujud tanggapan tersebut kerana Jameson dilihat terlalu menekankan fungsi sosial karya Lu Hsun lalu mengabaikan nilai estetik dan kesenian yang menjadi komponen penting sastera itu sendiri.
Namun tanggapan itu berubah tatkala Jameson hadir memberikan ceramah sekali lagi kepada warga sastera di Shanghai pada tahun 2002 dan memperkatakan permasalahan “momok modernisme”.
Beliau melihat kecenderungan globalisasi dalam zaman kapitalisme peringkat akhir (late capitalism) yang kita alami sekarang ini memberikan kesan yang amat mendalam kepada negara-negara Dunia Ketiga.
Pertama, terobosan yang mencengkam dari segi barangan komoditi menerusi logika perdagangan. Kedua, ia boleh menular jauh ke alam bawah sedar dan menguasai minda manusia.
Justeru, beliau beranggapan sastera Dunia Ketiga harus dipertahankan dan ia diberi harapan tinggi untuk menantang jentera kapitalisme yang hadir bersama dengan gelombang globalisasi.
Demikian beliau memberi pengisian baru kepada gagasan Sastera Dunia Ketiga:
“Third World literature is that literature that is most emphatically not of the First—that is, not of the European, the Europeanized American, and perhaps simply not of the white man's world. In this sense it is Third World literature that inherited, if anything can be said to have done so, the revolutionary, utopian aspiration once claimed by a class, rather than a racial or ethnic "other": Third World literature appears, at times, to replace but also to act as a kind of relay for the lost promise of a "proletarian" literature. It is the nonor antibourgeois literature of a world for which literature itself has seemed to become irredeemably bourgeois.”
Kembali kepada isu Sastera Malaysia tadi, pendorong atau penggerak sastera dan budaya tidak harus terjebak ke dalam kancah mainan politik lalu terus hilang arah. Sebetulnya di hadapan kita terpampang satu tembok besar yang menyekat kita menjengah sesama sendiri.
Keadaan sastera pelbagai aliran bahasa di Malaysia sekarang barangkali boleh diibaratkan dengan kata ahli falsafah China, Lao Tzu dalam kitab Tao Te Ching:
“Dua negara tetangga boleh nampak antara satu sama lain. Malah kokok ayam dan salakan anjing jiran bersebelahan saling kedengaran. Tetapi, sampai hujung hayat pun masing-masing tak pernah bertegur sapa.”
Tembok di depan mata sudah tentu bikinan manusia dan ia didatangkan bersama dengan arus pemodenan (modernization) era pascamoden (post-modern era) yang mendekontruksikan segala makna dan nilai.
Sudah menjadi tradisi orang di sebelah Timur hidup berakarkan nilai. Sastera Malaysia pun wajar hidup sebagai satu keluarga yang sempurna tanpa perlu seorang ketua rumah yang cenderung membuat keputusan seorang diri.
PROF MADYA DR CHONG FAH HING berkhidmat di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai