Skip to main
Logo Malaysiakini

Janna dengar suara ghaib sejak kecil, pernah cuba bunuh diri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sering mendengar pelbagai suara dalaman selain beberapa kali pernah melakukan percubaan membunuh diri antara dakwaan pelakon Janna Nick berhubung masalah mental atau bipolar yang dialaminya.

Katanya, baru-baru ini dia didiagnos mengidap bipolar dan perlu berehat sementara waktu daripada media sosial bagi memberi fokus terhadap diri sendiri.

“Saya ada rasa nak bunuh diri sejak berusia lapan tahun.

“Saya cuba tamatkan nyawa sendiri sewaktu berusia 14 tahun dengan telan segenggam panadol bercampur ubat-ubatan lain yang boleh dijumpai ketika itu.

“Cubaan membunuh diri kali kedua, setahun selepas itu. Pada tahun saya ambil Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), saya kelar pergelangan tangan di depan adik perempuan saya," katanya di media sosial hari ini.

Tambah penyanyi itu lagi selama ini dia menyangka tiada sebarang masalah dihadapi di sebalik pengalaman mendengar suara-suara dalaman berkenaan.

"Saya memang sangka semua orang mendengar ada tiga hingga empat suara dalam fikiran mereka,” katanya.

Menurut pemilik nama asal Nurul Jannah Muner itu, perkara yang berlarutan itu berubah selepas dia mula mengambil ubat.

“Sudah seminggu dan masih berterusan mengambil ubat antidepresan (escitalopram) dan carbamazepine.

“Hanya selepas saya mula ambil ubat, barulah saya sedar. Oh, begini rupanya manusia normal berfikir. Saya tak tau sama ada ia akibat masalah genetik atau disebabkan masalah lampau," katanya.

Hanya pandang dari tingkap

Menurut pelakon Selamat Hari Tak Jadi itu lagi sebelum ini dia juga menganggap adalah normal untuk suara dalaman seseorang bercakap sesama sendiri seperti dalam sebuah perbincangan berkumpulan.

Berkongsi lanjut situasi dialaminya, Janna, 25, berkata dia tidak mengalami zaman kanak-kanak seperti orang lain dan mendakwa penderaan adalah sinonim dengan hidupnya.

“Zaman kanak-kanak saya tidak sama seperti rakan-rakan lain. Sepak terajang memang 'makanan' saya sejak saya boleh mengingat.

“Saya tak mempunyai keluarga sempurna. Dulu masuk asrama penuh jauh dari rumah. Setiap minggu tengok ibu bapa kawan sekolah melawat anak-anak mereka, bawakan makanan.

“Saya pula? Tengok saja di balik tingkap nako tu,” katanya.

Sekiranya berasa tertekan, mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri atau mengenali seseorang yang sedemikian, anda boleh menghubungi Befrienders untuk mendapatkan bantuan dengan mengikuti langkah di laman web https://www.befrienders.org.my.

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah membuat talian sokongan psikososial untuk pekerja barisan hadapan dan orang lain yang secara emosional terjejas oleh wabak Covid-19.

Talian itu boleh dihubungi di 011-63996482, 011-63994236 atau 03-9359935, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.