Skip to main
Logo Malaysiakini

Akim tetap aktif dengan Akim & The Majistret walau tampil solo

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas lima tahun berkelana bersama kumpulan Akim & The Majistret (ATM), vokalis Akim Ahmad memilih untuk bergerak solo buat sementara waktu.

Akim yang terlebih dulu mencipta nama sebagai seorang penyanyi solo selepas memenangi tempat ketiga dalam program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh pada tahun 2009, kini terbuka untuk merakamkan karyanya secara solo.

Justeru, dia kini mempertaruhkan lagu berjudul Bayang bagi memberi nafas baru kepada muzik diketengahkan penyanyi itu sekali gus menampilkan sisi berbezanya sepanjang 12 tahun bergelar anak seni.

Bayang merupakan hasil ciptaan Hang Nadim dan lirik ditulis oleh Hang Nadim, Bunga Cantik serta Arisz Ab Rahman.

Menurut pemilik nama penuh Afiq Hakim Ahmad itu, Bayang adalah lagu yang cukup istimewa kerana cetusan idea bersama isteri tercinta yang juga penyanyi terkenal, Stacy.

“Bayang sangat berbeza dengan single saya sebelum ini. Ia boleh disifatkan evolusi saya sebagai seorang penyanyi. Dari segi bunyi dan muzik, ia juga berbeza dengan ATM. Muzik Bayang lebih mengetengahkan instrumen elektronik. Malah, ia sangat istimewa kerana merupakan hasil cetusan idea saya bersama dengan Stacy.

“Disebabkan lagu Bayang ini adalah projek solo, saya mahukan sesuatu yang baru. Sebelum ini, saya pernah bergerak solo. Tapi kali ini saya nak tunjukkan sisi berbeza pula.

“Selepas lima tahun bersama ATM, mungkin peminat juga ingin melihat saya kembali sebagai Akim Ahmad, penyanyi solo. Inilah buah tangan terbaru untuk peminat yang rindukan Akim Ahmad. Dalam erti kata lain, lagu Bayang ini satu lagi evolusi muzik dan kerjaya saya,” katanya.

Menurut Akim, lagu Bayang sudah lebih setahun disimpan sebelum dirakam dan seterusnya dilancarkan sebagai sebuah single solo.

“Lagu Bayang ini sudah ada dalam simpanan saya sejak setahun lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama lagi. Stacy yang mendengar lagu ini mencadangkan kepada saya untuk merakamkan lagu ini. Tapi, saya cakap nanti dulu.

“Stacy cakap lagu ini sangat sesuai dengan saya. Tapi, ketika itu saya belum dapat tangkap lagi melodi dan muzik lagu ini.

“Tidak sangka kebetulan ada projek terbaru daripada Nova Music yang memerlukan saya untuk merakam sebuah lagu secara solo.

“Lagu yang sesuai pun dah ada jadi saya ambil keputusan untuk terus merakam lagu Bayang. Ketika proses rakaman, Stacy yang menjaga vokal saya. Itu yang saya cakap, lagu ini antara kerjasama istimewa kami. Ada nilai sentimental”, katanya.

Berkongsi mengenai lagu Bayang yang baru sahaja dilancarkan minggu lalu, Akim berkata liriknya mengisahkan tentang kehidupan seharian.

Menariknya, lagu Bayang dipilih menjadi satu daripada lagu tema utama drama bersiri Sabarlah Duhai Hati terbitan Suhan Movies & Trading yang bakal ditayangkan setiap di TV3 mulai 23hb April ini.

“Lagu ini berkenaan kehidupan seharian kita di mana semua orang sentiasa hidup dengan bayang. Jadi kena sentiasa mengadu dengan pencipta kita.

“Apabila dalam keadaan gembira, sedih atau apa saja, kena sentiasa mengadu kepada pencipta. Selagi ada bayang, kena sentiasa jalankan tanggungjawab. Pendek kata, lagu ini memberi kekuatan untuk hidup.

“Satu kelebihan buat lagu Bayang ini apabila ia dipilh untuk dimainkan pada ‘opening credits’ dan ‘ending credits’ drama itu. Malah, lirik lagu juga ditulis berdasarkan sinopsis drama itu,” katanya.

Ditanya status ATM, Akim berkata dia dan kumpulan itu akan terus aktif.

“ATM masih ada. Sekarang ini, kami dalam perancangan untuk mengumpul material bagi projek album.

“Perlukan waktu untuk cari material yang berkualiti. Tiada istilah ATM berhenti seketika. Baik saya muncul secara solo mahu pun bersama ATM, semua kena jalan,” katanya.