Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19 jangkiti pelakon, kru produksi pula

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selepas Sweet Qismina disahkan positif Covid-19, penerbit Cintakasih Productions Sdn Bhd, Aida Aris, mengesahkan lima lagi individu lain dalam produksi terbabit turut dijangkiti wabak berkenaan.

Katanya jangkitan tersebut berlaku ketika mereka menjalani penggambaran filem Tariandi di Kuala Kangsar, Perak pada 15 April lalu.

Menurut Aida, mereka yang disahkan dijangkiti Covid-19 itu ialah pelakon utama lelaki, Akif Halqi, serta dan empat kru - semuanya wanita - membabitkan pembantu pengarah kedua, pembantu peribadi pengarah, konti dan clapper.

“Saya difahamkan sebelum masuk lokasi dia (Sweet Qismina) terbabit dalam penggambaran drama bersiri dan mungkin dia dijangkiti di situ.

"Habis saja dengan drama itu, dia terus sambung dengan produksi saya pula untuk Tariandi ini.

“Kami mula penggambaran pada 15 April dan pada 16 April lalu, kemudian dia mengadu demam.

"Selepas berehat beberapa hari, dia menjalani ujian saringan dan hasil ujiannya positif. Jadi, saya terus arahkan produksi untuk hentikan penggambaran,” katanya dipetik Harian Metro.

Selepas Sweet Qismina - atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi- disahkan positif, Akif pula mengadu badannya sejuk dan sakit tekak.

Demam tak kebah

Pada masa sama, katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan seluruh produksi kini dibawah pemerhatian mereka.

"Saya membawa Akif termasuk tiga kru lain untuk buat ujian saringan di hospital swasta dulu kerana mereka ini kerap bersama Akif.

“Saya pun buat ujian saringan sama. Hasil ujian, Akif positif dan kami yang lain negatif. Kemudian Akif terus dibawa ke pusat kuarantin dan kami tidak dibenarkan bercampur dengan kru lain sementara yang lain menjalani ujian saringan pada 21 April,” katanya.

Aida memaklumkan, kru menjalani proses kuarantin di Ulu Kinta dan Tanjung Rambutan sementara yang positif ditempatkan di pusat kuarantin di Ipoh.

Terdahulu, dramatis Farisha Irwayu memberitahu di Facebook, dia mengalami beberapa simptom sebelum disahkan positif Covid-19 pada Ahad lalu.

“Sesiapa saja di luar sana kalau ada sakit, batuk atau demam jangan ambil remeh... cepat-cepat buat ujian saringan ya, jangan jadi macam saya dah seminggu batuk, demam tak kebah, sampai hilang deria bau dan rasa barulah nak buat ujian rupanya Covid-19,” katanya.

Selain Farisha dan Sweet Qismina, 23, BH Online melaporkan seorang lagi pelakon Laila Nasir disahkan positif Covid-19 selepas membintangi drama bersiri, Kiblat Yang Hilang, yang menjalani penggambaran di Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini.

Laila mengesahkan dirinya positif Covid-19 dan mengalami Influenza B sebelum dimasukkan ke sebuah pusat perubatan di Ampang akibat muntah-muntah petang semalam.

Katanya, dia terus memasuki set penggambaran drama Rindu Yang Hilang terbitan Bright Network selepas selesai penggambaran drama Kiblat Yang Hilang arahan Azri Izhar.

“Saya tinggal serumah dengan Farisha dan Sweet ketika penggambaran drama Kiblat Yang Hilang. Seperti biasa, kami mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, Farisha mengalami demam sebaik menjalani penggambaran pada 7 April lalu. Saya pula berjangkit demam tiga hari kemudian.

“Saya mengalami sakit kepala, letih, lemah seluruh badan dan batuk tidak berhenti. Demam masih berlarutan sehingga semalam biarpun tamat penggambaran sejak 12 April lalu.

“Anak membawa saya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan ujian calitan, petang semalam. Bagaimanapun, saya disahkan positif Covid-19," katanya.

Turut dijangkiti, penolong pengarah, Nazlinda Yusof dan suami Farisha, Tuan Asmawi Tuan Omar.