Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Mengapa Fahmi mesti ditangkap, satira wajib dipenjara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Dalam dunia yang penuh dengan peperangan dan penindasan ini barangkali hanya ada dua jenis manusia yang wujud: si kaya atau golongan kayangan, dan si miskin yang marhaen.

Selain daripada yang dua itu adalah tiada, atau cuma fatamorgana.

Dalam kesibukan peperangan itu kita sebenarnya lebih suka menidakkan, malah sejak dulu lagi kita selalu diajar untuk menghindar. Lebih teruk daripada itu kita dididik agar mengabaikan segala macam jenis peperangan berkenaan.

Hasilnya, kita perlahan-lahan menjadi suatu masyarakat jahil yang memiliki kecenderungan untuk mengabaikan penindasan waima berlaku di bawah hidung sendiri.

Secara berstruktur dan bersistematik tanpa sedar kita pun menjadi suatu koloni manusia yang pasrah dan percaya bahawa tidak ada apa yang dapat kita lakukan bagi melawan ketidakadilan.

Sindrom kepandiran - atau bahasa lebih lunaknya ignorance syndrome - sebeginilah yang sebenarnya melemahkan kuasa rakyat dalam masyarakat. Sementara cengkaman pemikiran feudal dan jiwa hamba menambahkan lagi parah yang ada.

Jika bukan itu yang berlaku, bagaimanakah lagi penjelasan yang boleh diberi untuk menerangkan bagaimana kaum kayangan boleh bersenang-lenang bebas daripada hambatan SOP ketika orang biasa pula dijerut dengan ancaman kompaun yang maha membebankan?

Misalnya kebebasan menerima pelawat di hospital bagi meraikan kedatangan anak yang baru keluar dari rahim wanita terpilih.

Ketika ribuan pelajar berantakan menanti arahan mengenai masa esok yang menggerunkan, dan ibu bapa kerisauan melihat pengurusan sekolah masih kelam-kabut, ada menteri yang bersedap-sedapan mengunyah kurmah gadang dan mahal semasa berbuka puasa.

Keberanian mahu digertak

Barangkali mereka sudah ada jawapan yang tuntas untuk mengelak tanggungjawab apabila disoal di hadapan Tuhan nanti. Pada masa sama kita juga kagum betapa kebanyakan orang tetaplah pasrah tanpa enggan melawan.

Kisah-kisau lampau mengajar kita bahawa gerakan kesedaran bagi membangkitkan rasa sepatutnya dalam kalangan masyarakat ini hanya boleh terjadi atas dua sebab.

Pertama, apabila seluruh kita mengalami kemelaratan total, dan kedua apabila seluruh komuniti seniman mampu berpakat untuk menggunakan seni mereka sebagai senjata.

Dan penguasa barangkali menyedari hal berkenaan. Nah, kerana itulah susuk seperti Fahmi Reza itu diserbu, pintu rumahnya dipecahkan dan dirinya ditangkap.

Dek kerana cuba membangkitkan kesedaran rakyatlah maka keberanian Fahmi itu cuba digertak dan kebebasan hasil seninya mahu dipenjarakan.

Jika anda masih keliru, biarlah saya jelaskan bahawa peperangan yang dimaksudkan dalam tulisan ini ialah tentang perang yang jarang buku-buku sejarah mahu kenang. Iaitu deretan kisah murbawan yang ditekan.

Peperangan yang mahu disampaikan dalam tulisan ini juga adalah tentang pemerasan antara kelas, ketidaksetaraan perlaksanaan hukum, konflik sosial yang mewujudkan amalan pilih bulu dan kasta yang sebelum ini tidak ramai yang mahu mengendahkan.

Visual-visual satira yang dibawa Fahmi adalah seni yang sah. Ia adalah kebudayaan sastera yang bergenrekan satira. Niatnya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk meruntuhkan tembok besar kepandiran yang sekian lama dibina oleh bangsa kayangan agar mereka boleh terus bersedap-sedapan atas penindasan.

Fahmi membawakan lambang-lambang pembaharuan. Karyanya adalah kritikan yang segar, dihiasi warna-warni keberanian yang bersesuaian dengan zaman dengan matlamat membangkitkan kesedaran.

Sebagaimana novel Shit! karya Shahnon Ahmad yang berjaya mengeluarkan segala kekotoran dan busuk isi perut politik Fahmi juga mahu melawan dengan cara mendedahkan segala tembelang, penyelewengan dan pemesongan akhlak bangsa kayangan.

Oleh kerana ianya adalah satira, sudah barang tentulah sarkasme dibawa visual Fahmi sarat dengan jenaka tajam yang menganjingkan kebodohan segelintir artisan, hartawan, kuasawan dan bagsawan yang berasa sangat kayangan.

Mencucuk-cucuk naluri orang

Pihak yang menentang perjuangan seumpama itu termasuklah para 'waibi' yang berasa suci harus ingat Nabi Muhammad SAW itu dihantar Tuhan bukanlah untuk menjadi raja, pemerintah, presiden parti, ketua kerajaan atau mengetuai mana-mana syarikat berkaitan kerajaan.

Sebaliknya nabi diutus untuk menentang segala jenis penindasan yang berpunca dari bangsa kayangan.

Pemerasan si kaya atau bangsa kayangan terhadap rakyat bawahan disentak oleh nabi dengan ajaran Islam yang sempurna dan tidak mengenal pilih kasih.

Pun begitu, bagi bangsa kayangan Makkah yang mendominasi serta memonopoli segala kekayaan di kota raya itu melihat nabi junjungan kita itu sebagai manusia yang biadab lagi menghina.

Justeru waibi tertentu yang ghairah mengadukan Fahmi kepada polis sepatutnya faham sedangkan nabi yang ditugaskan - antara lain - untuk meluruskan akhlak bangsa yang semakin edan itu juga dilabel gila lagi biadab.

Muhammad menjadi nabi pada saat sindrom kejahilan diarusperdanakan hingga kerja-kerja menegur melawan penindasan tidak ada sesiapa yang mahu melaksanakannya.

Fahmi sudah tentu bukan nabi. Fahmi sekadar manusia yang sentiasa terdedah kepada salah dan dosa, tetapi dia sedang mencucuk-cucuk naluri ramai orang dengan satiranya.

Fahmi mahu membuka mata masyarakat agar faham bahawa keadilan tidak akan tertegak tanpa keberanian. Karya-karyanya yang sejak dulu dianggap melampau dan menyinggung adalah jeritan kepada ramai orang agar bersama-sama mematikan sindrom pandir sesegera mungkin.

Jika ada bangsa yang terasa hati, terluka atau sakit hatinya, di sini lain ada ramai juga yang tersenyum puas kerana di sebalik kelucuan itu sakit dan marah yang tersimpan lama dalam dada terluahkan juga walaupun melalui orang bernama Fahmi.

Nak tahu mengapa Fahmi ditangkap dan seninya mahu dimandulkan? Jawapannya ialah kerana penguasa sedar dia membawa kesedaran dan jika tidak ditindaki kita semua bangkit daripada sindrom kejahilan.


HARIS HAUZAH ialah antipolitikus yang tak tahu apa itu Hujan Pagi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.