Skip to main
Logo Malaysiakini

Nomadland ungguli Oscars, Chloe pahat sejarah peribadi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Nomadland, kisah pengembaraan epik seorang wanita yang kehilangan pekerjaan dan rumahnya, dinobat sebagai filem terbaik Anugerah Academy atau Oscars 2021 hari ini.

Filem itu mengetepikan drama bersejarah Trial Of The Chicago ditulis dan diarah Aaron Sorkin, serta Mank yang berkisah tentang penulis lakon layar filem terbitan 1942, Citizen Kane.

Ditulis, diarah, disunting, dan dihasilkan oleh Chloe Zhao, Nomadland adalah kisah berdasarkan buku bukan fiksyen Nomadland: Surviving America In The Twenty-First Century oleh Jessica Bruder.

Kemenangan tersebut sekali gus menobatkan Chloe sebagai wanita pertama dari Asia yang merangkul trofi sutradara terbaik dalam sejarah 93 tahun Oscars.

“Kemenangan ini adalah untuk sesiapa saja yang memiliki keyakinan dan keberanian untuk berpegang pada kebaikan dalam dirinya sendiri, dan untuk mempertahankan kebaikan antara satu sama lain,” katanya semasa berucap mengambil trofi kemenangan.

Selain Oscars, Chloe turut dinobatkan sebagai sutradara terbaik di Golden Globes tahun ini.

Setakat ini, hanya dua wanita pernah memenangi pengarah terbaik dalam sejarah Anugerah Academy. Sebelum Chloe, Kathryn Bigelow menerima anugerah tersebut pada 2010 untuk filem The Hurt Locker.

Berbeza dari tahun lalu

Nomadland mempunyai watak komposit fiksyen - seorang janda bernama Fern, dilakonkan oleh Frances McDormand - berinteraksi dalam adegan dengan banyak individu sebenar yang dipaparkan di halaman buku.

Untuk rekod, selain filem terbaik, Nomadland juga dicalonkan untuk lima lagi kategori dan mengungguli tiga daripadanya.

Sejak tayangan perdana pada 11 Sept tahun lalu di Festival Filem Venice, Itali, Nomadland menerima penghargaan daripada puluhan kumpulan pengkritik dan pertubuhan filem, termasuk Golden Globes, Akademi Anugerah Filem British, Anugerah Pilihan Pengkritik, dan Persatuan Pengkritik Filem Nasional.

Ia juga dinamakan filem terbaik Institut Filem Amerika.

Pencalonan Oscars tahun ini menarik perhatian kerana kepelbagaian latar yang terbabit berbanding anugerah tahun lalu yang menyaksikan dominasi kulit putih untuk kategori utama.

Tahun lalu juga tidak ada wanita yang dicalonkan sebagai pengarah terbaik. Hal itu menimbulkan kemarahan pengguna media sosial.

Berikut senarai pemenang Oscars 2021:

1. Filem Terbaik - Nomadland

2. Pengarah Terbaik - Chloe Zhao (Nomadland)

3. Pelakon Wanita Terbaik - Frances McDormand (Nomadland)

4. Pelakon Lelaki Terbaik - Anthony Hopkins (The Father)

5. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Youn Yuh-jun (Minari)

6. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Daniel Kaluuya (Judas And The Black Messiah)

7. Lagu Terbaik - Fight For You (Judas And The Black Messiah)

8. Filem Animasi Terbaik - Soul

9. Solekan dan Tatarias Rambut Terbaik - Ma Rainey's Black Bottom

10. Kesan Visual Terbaik - Tenet

11. Sinematografi Terbaik - Mank

12. Suntingan Filem Terbaik - Sound of Metal

13. Rekaan Produksi Terbaik - Mank

14. Kesan Bunyi Terbaik - Sound Of Metal

15. Filem Antarabangsa Terbaik - Another Round (Denmark)

16. Dokumentari Pendek Terbaik - Colette

17. Rencana Dokumentari Terbaik - My Octopus Teacher

18. Filem Pendek Aksi Langsung Terbaik - Two Distant Strangers

19. Filem Animasi Pendek Terbaik - If Anything Happens I Love You

20. Lakon Layar Terbaik - Promising Young Woman (Emerald Fennell)

21. Lakon Layar Adaptasi Terbaik - The Father (Christopher Hampton dan Florian Zeller)

22. Skor Filem Terbaik - Soul

23. Rekaan Kostum Terbaik - Ma Rainey's Black Bottom