Skip to main
Logo Malaysiakini

Neelofa terima kompaun dengan hati terbuka, janji titikberatkan SOP

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Selebriti terkenal, Neelofa berkata dia menerima kompaun yang dikenakan terhadapnya dan suami dengan hati terbuka selepas kedua-duanya didapati bersalah melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Dalam satu kenyataan, usahawan itu berjanji akan menitikberatkan kepentingan SOP pada masa akan datang.

“Saya menerima dengan hati yang terbuka dan menjadikan kompaun ini sebagai satu pengajaran iaitu menggunakan kebenaran merentas negeri atas tujuan yang telah dipersetujui oleh pihak berkuasa.

“Peringatan buat saya dan semua yang terlibat pada majlis kahwin saya untuk sentiasa menitikberatkan soal kepentingan SOP,” katanya.

Terdahulu, pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor itu dikompaun RM20,000 kerana tidak mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata usahawan itu dikompaun kerana tidak memastikan penjarakan fizikal sewaktu majlis akad nikahnya berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada 27 April lalu.

Neelofa, 32, juga didapati bersalah melanggar tujuan rentas negeri yang dibenarkan.

Suami Neelofa, Muhammad Haris Mohd Ismail pula dikompaun RM10,000 juga atas kesalahan melanggar kebenaran rentas negeri.

Tiada diskaun dibenarkan untuk menyelesaikan kompaun berkenaan, kata polis.

Turut dikenakan kompaun, seramai 20 orang anggota keluarga Neelofa yang hadir dalam majlis perkahwinan itu dengan masing-masing berjumlah RM1,500 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal.

Mohamad Zainal berkata kesemua jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan hari ini adalah sebanyak RM60,000

Neelofa, juga memohon maaf sekiranya kes terbabit memberikan masalah selain menjejaskan urusan orang lain.

“Terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama yang baik dalam menguruskan kes saya.

“Saya ingin meminta maaf sekali lagi jika kes ini memberi sedikit masalah kepada kelancaran kerja-kerja harian kalian,” katanya.