Skip to main
Logo Malaysiakini

Jaafar Onn tak sangka watak Tyson 2 angkat kembali nama sebagai pelakon

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jaafar Onn mengaku tidak sedikit pun berkecil hati meskipun diminta pengarah Mamat Khalid untuk menjayakan watak sebagai syaitan dalam 18 Puasa Di Kampong Pisang selepas bertahun-tahun tidak muncul di kaca televisyen.

Kata Jaafar di sebalik watak Tyson 2 itulah dia dapat menarik perhatian penonton terhadap lakonannya termasuk dalam kalangan agamawan dan kanak-kanak.

Menurutnya, ekoran keberkesanan watak yang dijayakan, lakonannya itu turut menjadikan namanya sohor kini di media sosial baru-baru ini.

“Ada seorang ustaz di Mersing, Johor puji lakonan saya dalam naskhah tersebut, katanya, ia banyak mengajak umat Islam menjauhi perkara tak baik di bulan puasa.

“Saya tak sangka pada usia begini, nama jadi popular semula sampaikan ada juga ramai kanak-kanak mula mengenali saya kerana watak Tyson 2.

“Sebab itulah saya langsung tak berkecil hati sekalipun diberikan watak sebegini. Lagipun, watak ni memang saya boleh buat,” katanya.

Tambah Jaafar, semua idea bagi menghidupkan watak Tyson 2 diilhamkan diri sendiri, tiada paksaan daripada sesiapa.

“Nak jelirkan lidah ke apa ke, semua idea sendiri bukan dipaksa-paksa oleh Mamat,” katanya.

Jaafar berkata demikian ketika ditemui pada majlis Re-(Start): Raya Jam! di restoran Asam Pedas Premiere, Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya kemarin.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang berkisahkan tentang sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan kemungkaran di bulan Ramadan.

Ketika Barkoba - lakonan Bell Ngasri - menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden.

Dia didatangi si iblis yang kemudian membawanya kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Barkoba mengabaikan zakat, menganiayai orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang.

Untuk rekod, filem tersebut berjaya mengutip RM3 juta selepas tiga hari ditayangkan di Astro First.

Sementara itu, ditanya pendapat segelintir agamawan yang tidak bersetuju filem tersebut memaparkan adegan yang menggambarkan situasi dalam neraka, Jaafar berkata, ia sekadar hiburan.

Menurutnya, di sebalik adegan dipaparkan itu, banyak mesej tersirat seperti mengajak umat Islam supaya menghindari kemungkaran di bulan Ramadan.

“Filem tu bertujuan beri kesedaran. Jika saksikan kisah ni, kita akan mendapat gambaran neraka sudah tentu untuk orang yang berbuat kejahatan.

“Justeru, pengajaran cuba disampaikan adalah untuk menyeru masyarakat Muslim melakukan kebaikan dan menghindari kemungkaran terutama di bulan mulia ini,” katanya.