Skip to main
Logo Malaysiakini

Ustaz Zoul gabungkan seni azan dengan nyanyian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tugas seorang bilal adalah melaungkan azan setiap kali masuk waktu solat bagi menyeru orang ramai mendirikan sembahyang.

Selalunya suara bilal yang mengalunkan azan memang sedap didengar, malah ada ketikanya mereka akan mengalunkan azan dalam pelbagai jenis taranum seperti Bayyati, Hijaz, Nahwand, Rast, Soba, Sikah dan Jiharkah.

Bagi penduduk di sekitar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor pasti mereka sudah biasa mendengar laungan azan daripada Hazizul Masdin sejak 2016 hingga kini.

Kini, orang ramai bukan setakat boleh mendengar Hazizul - atau mesra dengan panggilan Ustaz Zoul, 38, - melaungkan azan tetapi juga boleh mendengar dia menyanyi melalui single pertamanya yang berjudul Ahlan Ya Ramadan.

Bagi Hazizul, nyanyian dipercayai salah satu cabang untuk menarik perhatian orang di luar sana mendekati Islam.

Tegasnya, dalam usaha untuk mengembangkan dakwah, proses itu bukan saja tertakluk kepada ceramah, percakapan atau berhujah semata-mata, sebaliknya nyanyian juga dianggap satu metadologi untuk berdakwah.

“Kerap kali nyanyian ini lebih mudah untuk orang menerima dan memahami kerana semua orang suka kepada keindahan lagu dan semua orang suka kepada bunyi-bunyian.

“Jika dengan nyanyian ini ia lebih menusuk hati dan menyentuh perasaan orang untuk menerima apa yang ingin kita sampaikan, tak ada masalah untuk berdakwah dengan cara itu.

“Boleh dikatakan setiap kali saya mengadakan ceramah, misalnya ceramah bab azan, ceramah bab motivasi pelajar, memang saya akan selitkan dengan persembahan lagu-lagu nasyid,” katanya dalam satu kenyataan.

Tatkala ditanya, bagaimana dia bakal membahagikan masa antara kerjaya sebagai penyanyi nasyid dan tanggungjawabnya sebagai bilal di bawah Jabatan Agama Islam Selangor Hazizul menjawab: “Bernasyid dan tugasan sebagai bilal ada kaitan dan kesinambungan."

Katanya, ketika menyertai nasyid dia belajar bab vokal, termasuk untuk mengawal suara dan pastikan ia dalam keadaan baik. Kemudian perkara tersebut dipraktikkan juga dalam tugasan sebagai bilal.

“Dua-dua itu saling berkait rapat dan berkaitan dengan seni suara. Setakat ini tiada masalah kepada saya untuk memikul tanggungjawab sebagai bilal dan pada masa yang sama saya juga bergelar penyanyi nasyid,” katanya.

Menurut Hazizul, kesempatan untuk merakam lagu terjadi selepas dia bertemu dengan komposer Daqmie yang juga seorang penyanyi terkenal yang banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir bagi rakaman lagu-lagu nasyid dan kerohanian.

“Sebenarnya, sewaktu bertemu dengan Daqmie, saya berhasrat nak minta dia buatkan susunan muzik untuk saya buat lagu cover sempena Ramadan.

“Dia pula mencadangkan kepada saya supaya mengeluarkan single sendiri untuk Ramadan ini daripada buat cover. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, saya tak fikir lama dan terus bersetuju dengan cadangan Daqmie,” katanya.

Ahlan Ya Ramadan adalah ciptaan Hazizul termasuk lirik.

Katanya, penulisan lirik bukanlah satu perkara baru, sebelum ini, dia kerap menghasilkan lirik lagu ciptaan sendiri untuk didendangkan bersama kumpulan Dvision bila mengadakan persembahan.

“Sebenarnya, saya adalah anggota dan ketua kumpulan nasyid Dvision tapi kami belum pernah menghasilkan lagu rakaman. Semua lagu ciptaan saya untuk Dvision sekadar untuk persembahan saja.

“Alhamdulillah sebelum saya keluarkan single solo ini, saya terlebih dulu berbicara dari hati ke hati dengan sahabat lain dalam kumpulan kerana saya bukan keluar daripada Dvision, sekadar nak keluarkan single untuk diri sendiri,” katanya yang mendapat sokongan penuh daripada anggota Dvision untuk projek solonya itu.