Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan pentingkan diri - Kuza

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelakon Kuza menggesa mana-mana produksi yang terbabit dalam sesebuah penggambaran untuk bersikap telus dan tidak menyembunyikan maklumat sekiranya mereka mempunyai kontak rapat atau dijangkiti Covid-19.

Katanya, jangan mementingkan diri hingga menyebabkan pelakon atau kru lain menjadi mangsa disebabkan sikap tidak bertanggungjawab itu.

“Apa perasaan korang (kamu) bila dapat tahu salah seorang artis (terbabit dalam penggambaran) telah disahkan positif Covid-19?

“Bila kami dapat tahu je salah seorang rakan artis kami positif bukan Covid-19 je tau influenza juga ko ghaserr? Boleh bayangkan tak perasaan kami masa tu?

“Tolonglah pada artis dan juga pihak penerbit kalau ada yang positif Covid-19, tolong bagitahu, jangan sorok perihal penyakit berbahaya ni. Jangan pentingkan diri sendiri,” katanya di media sosial.

Terdahulu, pelakon Aishah Azman meluahkan kekesalan apabila seorang penerbit drama didakwa mengambil ringan jangkitan Covid-19 dengan memaksa seorang pelakon yang merupakan kontak rapat untuk hadir penggambaran.

Sebelum itu, tiga pelakon lain yang terbabit satu lagi penggambaran di sekitar Selangor positif Covid-19. Selepas selesai penggambaran tersebut, seorang daripada mereka kemudian memasuki penggambaran sama yang melibatkan Kuza.

Dakwa pemilik nama sebenar Tengku Sariza Tengku Muzani itu, perkara itu sebenarnya terlebih dulu sudah dimaklumkan oleh pesakit terbabit, namun ia tidak dihebahkan kepada kru produksi.

“Padahal artis tu dah bagi tahu pada pihak tertentu bahawa dia sakit dah 10 hari dan ada kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19, namun tak maklumkan pada kami semua,” katanya.

Tegasnya, mereka yang terbabit dalam penggambaran itu segera menjalani ujian saringan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Dia bagaimanapun bersyukur bebas daripada wabak berkenaan.

“Kami ada anak, keluarga. Apa lagi kami (artis) terus buat RT-PCR (Real Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction).

“Alhamdulillah saya negatif,” katanya.