Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengerusi Finas, isteri dan anak positif Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid disahkan positif Covid-19 selepas menerima keputusan ujian saringan semalam.

Turut dijangkiti wabak berkenaan adalah isteri dan dua lagi anaknya.

Menurut Zakaria, dia dan keluarganya akan menjalani tempoh kuarantin di rumah berdasarkan saranan dan pemantauan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sementara menunggu kemasukan ke wad di hospital.

“Setakat ini saya, isteri dan dua lagi anak turut dijangkiti Covid-19. Pada awal, saya alami simptom sakit tekak, dan sengal-sengal sendi.

“Ketika ini, kami melakukan kuarantin kendiri di rumah hingga diberi arahan oleh KKM yang seterusnya,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Zakaria mengesyaki jangkitan berlaku di Kuantan ketika mereka menghadiri majlis Penyerahan Surat Tawaran Mikro Prisma Dana Kandungan Digital, Program Komuniti Finas Peringkat Negeri Pahang.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah.

“Mungkin kami dijangkiti di Kuantan sewaktu memeriahkan program Finas di sana. Sekembali program di Kuantan itu, isteri saya mulai demam,” katanya.

Zakaria juga memohon maaf atas kesulitan yang timbul akibat situasi itu.

Untuk rekod, Saifuddin disahkan positif Covid-19, selepas mendapat keputusan ujian saringan pada malam 28 April lalu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Finas memaklumkan sepanjang tempoh rawatan Zakaria, segala urusan dan pengoperasian badan berkenaan akan terus berjalan seperti biasa.