Skip to main
Logo Malaysiakini

Dolla harap mesej lagu raya 'sampai' walau berpakaian seksi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Walaupun salah seorang anggota Dolla mengetengahkan imej seksi dalam video muzik dibuat khas sempena Aidilfitri, kumpulan itu berharap ia tidak akan menjejaskan tujuan single itu dihasilkan.

Wakil Dolla, Sasya, berkata dalam setiap lagu dibawakan kumpulan itu mereka seboleh-bolehnya cuba mengajak peminat untuk sentiasa berfikiran positif.

“Harap ia tak jauh menyimpang daripada mesej yang cuba kami sampaikan,” katanya.

Syasya berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single kumpulan itu berjudul Raya Raya Raya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir tiga lagi anggota Dolla iaitu Tabitha Ariel Lam Lianne (Tabby), Wan Sabrina Wan Rusli (Sabronzo) dan Angelina Chai (Angel)

Melalui video berkenaan, Angel tampil dengan memakai pakaian yang mendedahkan bahagian pada perut dan bahunya.

Namun, kata Syasya - atau nama sebenarnya Noorsyasya Afiqah Shahrizal, seperti pada kebanyakan masa imej yang cuba ditampilkan sekadar menunjukkan diri mereka sendiri.

“Dari segi penampilan tu, it is what it is (memang begitulah seadanya),” katanya.

Raya Raya Raya adalah lagu ciptaan bersama beberapa komposer dan penulis lirik seperti Kalerj, Ajay Amai, Mike Chan, Glow Rush, Nick Arif, Acap Salim dan Somean K-CLique.

Dolla sebelum ini pernah muncul dengan single Dolla Make You Wanna dan Impikan.

Mengulas Raya Raya Raya, Syasya berkata, lagu itu menunjukkan sisi Dolla yang berbeza daripada selalu.

Katanya, walaupun Covid-19 mengekang rakyat negara ini daripada melakukan pelbagai aktiviti yang biasa pada hari raya, dia berharap perkara tersebut tidak menghalang orang ramai mengimbau kenangan apabila mendengar dendangan mereka.

“Saya harap ia dapat bawa kenangan manis sewaktu sambut hari raya.

"Walau apa pun terjadi ketika ini, kami berharap pendengar dapat merasai nikmat berhari raya apabila mendengar lagu ni,” katanya.

Sementara itu, Angel berkata, proses rakaman video muzik itu membawa keseronokan kepadanya.

“Kerana ia membuatkan perasaan menyambut raya lebih dekat untuk seseorang seperti saya yang tidak pernah berhari raya,” katanya.