Skip to main
Logo Malaysiakini

Penggambaran di kawasan PKP perlu mohon SPP Khas - Finas

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penggiat seni yang mahu melakukan aktiviti penggambaran di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu membuat permohonan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas), kata Unit Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Dalam kenyataannya, Finas berkata perkara itu tertakluk kepada pematuhan semua garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini susulan pengumuman kerajaan untuk melaksanakan PKP di seluruh Kuala Lumpur dan beberapa daerah serta mukim di Selangor, Johor, Perak dan Terengganu.

"Permohonan SPP Khas boleh dibuat mulai 6 Mei 2021 hingga 17 Mei 2021 melalui laman sesawang FINAS di www.finas.gov.my," menurut kenyataan Finas.

Finas berkata bagi kawasan yang dikuatkuasakan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP), mereka boleh meneruskan aktiviti penggambaran dengan syarat perlu mematuhi SOP penggambaran yang ditetapkan oleh MKN serta semua garis panduan.

Ini meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan.

"Butiran lanjut berkenaan mengenai daerah dan kawasan yang dikuatkuasakan PKP boleh didapati menerusi laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my," jelasnya.