Skip to main
Logo Malaysiakini

Jumpa pakar tiap minggu redakan gangguan bipolar Janna Nick

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menjalani rawatan dengan bertemu pakar sakit jiwa menjadi rutin buat Janna Nick yang baru-baru ini membuat pendedahan berani bahawa dia pernah cuba membunuh diri kesan masalah bipolar dialaminya.

Pelakon dan pengacara itu berkata, selepas merujuk kepada pakar kesihatan, keadaanya kini lebih tenang dan stabil.

“Saya sekarang masih menjalani rawatan dengan pakar sakit jiwa. Hampir setiap minggu saya perlu bertemu doktor.

“Tapi saya okey, stabil saja. Saya di bawah pengambilan ubat yang ditetapkan doktor,” katanya.

Pada masa sama pemilik nama asal Nurul Jannah Muner itu mengakui dia juga terpaksa membiasakan diri dengan kesan ubat yang dimakannya itu seperti gangguan terhadap perhatian hingga menyukarkan dia memberi fokus semasa melakukan sesuatu.

“Ketika bekerja, saya terlalu tenang dan ada kalanya jadi cepat mengantuk. Dah tiga kali saya tukar ubat disarankan doktor setakat ni. Sebelum ni ada yang tak sesuai dengan saya,” katanya.

Walaupun ada preskripsi ubat tidak bersesuaian, Janna, 25, beranggapan mengambilnya adalah solusi terbaik demi menangani gangguan mental yang dialaminya.

Terdahulu, Janna memberitahu dia selalu mendengar pelbagai suara ghaib sejak kecil selain pernah cuba membunuh diri beberapa kali sejak berusia lapan tahun. 

Kata pelakon Isteri Untuk Diiktiraf itu, pendedahan dibuat tidak bermaksud dia ingin membuka pekung sendiri sebaliknya untuk meletakkan dirinya sebagai manusia biasa.

“Sebagai manusia juga saya tak sempurna. Selama ni saya fikir diri saya normal dan okey tapi rupa-rupanya tidak,” katanya.

Mengulas reaksi keluarga terdekat selepas pendedahan dibuat, Janna mengakui, mereka memang sangat terkejut pada peringkat awal.

Dia yang menjayakan sidang media secara maya menerusi Google Meet anjuran TV3 bersama Elisya Sandha itu berkata mereka tidak menjangka bahawa keadaannya boleh sampai ke tahap cuba membunuh diri.

“Mereka ingat situasi saya alami tak begini rumit. Masyarakat juga tak terlalu terbuka atau peka dengan masalah kesihatan mental.

“Mereka ingat saya bertindak ikut emosi, keterlaluan dan sengaja cari perhatian. Sebenarnya saya sendiri terkejut bila dapat tahu ada gangguan bipolar,” katanya.

Sekiranya berasa tertekan, mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri atau mengenali seseorang yang sedemikian, anda boleh menghubungi Befrienders untuk mendapatkan bantuan dengan mengikuti langkah di laman web https://www.befrienders.org.my.

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah membuat talian sokongan psikososial untuk pekerja barisan hadapan dan orang lain yang secara emosional terjejas oleh wabak Covid-19.

Talian itu boleh dihubungi di 011-63996482, 011-63994236 atau 03-9359935, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.