Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Perang dan kuburan kunang-kunang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Dalam seni, faktor rasa adalah sangat penting. Lantas kerana keupayaannya itulah kita dapat melihat perbezaan fenomena estetika yang banyak dan berlainan.

Melalui rasa seseorang itu dapat meletakkan garis di antara sebuah keindahan dan kejelekkan; atau kebijakan berbading kebodohan.

Kuasa rasa juga membolehkan kita melihat makna di sebalik suatu penyataan yang cuba digambarkan suatu karya seni sama ada ia bersifat bersifat tulus, mendalam dan luas atau sebaliknya.

Tulisan ini adalah tentang apa rasanya suatu peperangan, kemiskinan dan kemelaratan manusia yang kadang-kadang sangat payah untuk difahami sesetengah orang.

Akan tetapi ada sebuah filem animasi yang akan membuatkan mereka mudah faham apa itu keindahan di sebalik kemusnahan.

Peperangan - seperti kemiskinan - memiliki kerumitan yang sama. Ia berselirat dan kadang-kadang amat sukar untuk difahami. Tambahan pula apabila kedua-dua hal itu disangkut-pautkan dengan kerencaman agama, warna kulit, bangsa, ras dan kelas.

Percayalah, segala perkaitan itu sebenarnya sengaja dibuat agar peperangan berkenaan dapat dihalalkan. Dan jangan tak tahu, dari situlah akan ada yang tergamak mengatakan orang miskin menjadi miskin kerana malas.

Peperangan sebetulnya adalah pengasingan, atau dengan kata lain suatu tindakan penyisihan kemanusiaan dalam proses meluaskan kuasa politik penjajahan. Perang adalah kuku tajam aparteid yang ganas mencakar dan keras mencengkam.

Ia adalah siri perampasan hak dan perogolan kemanusiaan. Perang tidak pernah ada rasa simpati dan belas. Perang hanya tahu membunuh dan menindas.

Menyerap ke hati dan perasaan

Beberapa hari sebelum Syawal - sebagaimana biasa pada tiap penghujung Ramadan - Israel membedil warga Palestin. Dengan alasan falasi Zionis menjarah tanah Palestin, keamanan dibakar dan penduduknya ditindas.

Palestin adalah simbol peperangan yang berselirat dengan ribuan sisi pandang. Inilah persoalan yang harus diselelesaikan terlebih dulu oleh umat Islam seandainya mereka serius mahu mengakhiri pergolakan dengan suatu kebahagiaan.

Bedilan askar Zionis di Sheikh Jarrah tetap amat sukar untuk diterima walaupun sudah lebih 70 tahun 'negara' Israel ditegakkan. Menyaksikan tentera itu mengganasi rakyat Palestin yang beribadat di Masjid al-Aqsa juga amat mencabar kemanusiaan.

Lantas kerana itulah seni diperlukan agar kesulitan memahami konflik itu dapat dibantu pemahamannya. Dan ia digambarkan agar dapat menyentuh rasa seseorang.

Di sana ada keindahan di balik ketakutan, sakit dan penderitaan agar makna kemanusiaan itu dapat hayati lalu menyerap ke jiwa, hati dan perasaan.

Ada sebuah filem animasi Jepun yang kalian wajib tonton. Walaupun ia dihasilkan Studio Ghibli lebih dari 30 tahun dulu, animasi tersebut masih tetap sedap dan kekal releven untuk ditonton.

Setiap visualnya melekat malah rasa yang dilukiskan dalam filem animasi itu sangat mengesankan.

Hotaru no Haka atau Grave of the Fireflies ialah antara filem animasi terbaik yang pernah dihasilkan. Ia kisah berdasarkan cerpen autobiografi Akiyuki Nosaka yang terbit pada 1967.

Kisah itu kemudiannya ditulis dan diarahkan Isao Takahata pada 1988 sebagai sebuah kisah perang paling memilukan.

Berlatar belakangkan bandar Kobe, Hotaru no Haka sebetulnya merupakan coretan pengalaman sebenar Nosaka sewaktu pengeboman ngeri Hiroshima dan Nagasaki pada awal Ogos 1945.

Filem ini mengisahkan kelangsungan hidup dua beradik mangsa peperangan - Seita dan adiknya Setsuko - di tengah krisis kemanusiaan. Penderitaan mereka diceritakan untuk menjadi subjek pilu untuk ditelan deria rasa kita.

Perang menambah kesulitan

Jalan cerita melankolik dan perlahan dipaparkan dengan kemusnahan, perpisahan, kematian dan kemelaratan dibentangkan sebagai fenomena estetika untuk dinilai.

Gangguan bunyi siren termasuk sewaktu si Seita dan Setsuko sedang makan diselang-selikan dengan babak serangan dan pengeboman sempat beberapa kali mengganggu ketenangan penonton.

Peperangan kemudian membawa dua beradik itu ke rumah ibu sedara yang tidak mengalu-ngalukan kedatangan mereka. Kematian ibu serta kegagalan memperoleh perkhabaran daripada bapa yang sedang berjuang di medan peperangan menambahkan lagi kesulitan.

Pada akhirnya Seita dan Setsuko terdesak lalu membuat keputusan untuk keluar dan menjalani kehidupan mereka tanpa mengharap bantuan daripada orang lain.

Filem yang sarat dengan kesengsaraan jiwa dan deraan perasaan itu berjaya memperlihatkan peperangan sebagai kejahatan yang tak mampu dikalahkan.

Namun apa yang mahu ditekankan dalam tulisan ini ialah, Hotaru no Haka menampakkan bahawa kematian menjadi lambang pembebasan yang indah lagi membahagiakan.

Ada tiga perlambangan seni yang ditandakan di sepanjang naratif Hotaru no Haka iaitu tin bekas gula-gula kegemaran Setsuko, kunang-kunang yang sering menjadi teman penghibur dan kuburan tanda kelahiran.

Segalanya menjadi fenomena estetika untuk kita menyelami segala sulit dan sakitnya peperangan.

Sebagai kesimpulan kepada keindahan dari kejelekkan peperangan Seita menyemadikan abu mayat Setsuko di dalam tin bekas gula-gula kegemaran adiknya itu sebagai tanda memori yang tenang dan damai.


HARIS HAUZAH percaya Kuala Lumpur bukan hanya wilayah tapi tentang parlimen yang diizinkan berfungsi untuk membahaskan masalah rakyat yang melarat.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini