Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Penolakan 'Wangi Jadi Saksi': Surat terbuka U-Wei untuk Ahmad Idham

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Surat terbuka ini saya tulis setelah menerima berita penolakan tanpa alasan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi sebuah projek filem kenegaraan. Ini disampaikan oleh penerbit saya iaitu Dato’ Azmir Saifuddin, bekas penolong ketua pengarah Finas dan filem tersebut diberi tajuk “Wangi Jadi Saksi’.

Ingin dinyatakan di sini surat rasmi penolakan dinyatakan melalui emel di bawah tajuk “Keputusan Permohonan Dana Kandungan Digital” dan tidak ada menyebut tentang filem kenegaraan. Saya pasti anda bukan sahaja sudah maklum akan projek ini tetapi telah juga tahu tentang keputusannya. Atau dengan cara langsung mahupun tidak anda mungkin ada peranan dalam keputusan ini.

Ini saya katakan selepas ada sumber Finas yang mengendalikan dana ini mendakwa "…kerana keputusan dari atas". Dan ‘immediate boss’ dia adalah saudara sendiri.

Saudara Ahmad Idham,

Ingin diingatkan bersama, Finas dari definisi adalah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, sekali gus ditubuhkan untuk kemajuan filem kita. Saya menyokong penuh projek untuk menghasilkan filem kenegaraan dan adanya filem nasional. Projek filem kenegaraan ini diumumkan di kala anda menyandang jawatan ketua pengarah Finas pada kali kedua setelah perjalanan anda sebagai ketua pengarah kali pertama tidak lancar dan dihentikan.

Saya memohon melalui ‘Wangi Jadi Saksi’. Pitching pada 16 Mac secara maya menggunakan aplikasi Zoom pada pukul tiga petang berjalan lancar. Hadir bagi pihak kami adalah saya, Dato’ Azmir Saifuddin dan Encik Azman Azahar dan dari pihak Finas adalah Mohd Fazli Abdul Aziz dengan dua orang ahli akademik; seorang profesor dan seorang doktor.

Tidak ada satu soalan ditanya dan setelah pembentangan, saya bertanya lagi jika ada soalan atau keraguan dan mereka hanya menunjukkan ibu jari sebagai tanda semuanya baik. Saya tekankan di sini mereka yang dipilih Finas ini adalah pakar-pakar yang dipecayai. Orang ilmuan yang saya hormati.

Saudara Ahmad Idham,

Di kala saya menerima berita penolakan, saya sebenarnya tidak terkejut dan juga terkejut. Saya tidak faham jika memang ada campur tangan anda sebagai ketua pengarah dalam menentukan keputusan setelah kebijaksanaan yang diamanahkan kepada pegawai anda dan kedua-dua orang pakar tadi. 

U-Wei ketika penggambaran filem Hanyut

Setahu saya selama saya sebagai pembikin filem (menulis, mengarah dan menerbit), saya tidak sedar atau tahu akan kecemerlangan anda dalam menghasilkan karya filem yang bermutu tinggi atau dalam kata lain filem yang boleh diterima di peringkat antarabangsa.

Saya tidak terkejut (istilah hairan agak pasif) kerana pada Sabtu malam, 13 Feb lalu, setelah berkali-kali diajak berjumpa, saya bersua dengan Puan Ellie Suriati di sebuah hotel. Pada malam itu dia menyuarakan cadangan supaya sebuah persatuan baru ditubuhkan atas cadangan saudara sendiri, dan atas persetujuan saudara juga saya telah diminta untuk memimpin persatuan tersebut.

Salah satu tujuan penubuhan persatuan baru itu adalah untuk memadamkan persatuan pengarah yang telah ada iaitu Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang diketuai Saudara Ahmad Ibrahim.

Setelah mendengar huraian yang panjang lebar daripada Puan Ellie Suriati, saya menolak cadangan itu. Dan pada Selasa petang, 16 Mac, saya mendapat pesanan Whatsapp dari pihak Finas yang mengatakan Menteri Komunikasi dan Multimedia dan juga ketua pengarah Finas akan membuat lawatan sesi ziarah Finas Prihatin ke rumah pengarah filem (nama Othman Hafsham dan saya disebut).

Saya menyatakan keberatan saya terhadap situasi sekadar memberi token seolah-olah memperagakan tokoh-tokoh filem dengan bergambar dengan cek (nilai selalunya dalam lingkungan RM1,000) bersama menteri dan pegawai-pegawai Finas seperti yang kerap dilakukan.

Seperti saya katakan seniman harus ditolong tetapi bukan dengan cara begini. Perkara ini ada saya tulis/perjelaskan kepada Puan Jame dari Finas untuk disampaikan kepada pihak menteri dan saudara.

Berikutan itu sekali lagi saya tidak setuju dengan rancangan Finas di bawah pentadbiran saudara. Oleh itu saya harap perasaan prejudis saudara (jika ada) tidaklah mempengaruhi keputusan terhadap permohonan saya.

Ayat penuh seperti yang didakwa sumber Finas adalah, “kami semua sokong projek ini tetapi kerana ada keputusan dari atas”. Jadi jika benar saudara sebagai ketua pengarah Finas ikut serta dalam pemilihan dan penentuan projek mana yang patut diluluskan atau tidak diluluskan, termasuk berkaitan permohonan saya, saudara sekaligus telah menghina kebijaksanaan panel yang dilantik Finas sendiri.

Sudah tentu saya terkejut apabila diberitahu akan penolakan tersebut. Untuk menghasilkan filem kenegaraan bukanlah suatu perkara yang mengikut rasa hati. Proses ini mengambil kira beberapa faktor awal yang sangat penting iaitu 1) projek yang bagus dan berpotensi supaya dapat mengetengahkan nama negara, 2) pembikin yang bukan sahaja mempunyai credential yang kuat tetapi konsistensi dalam penghasilan filem berkualiti dan 3) syarikat yang kukuh dan berkebolehan.

Kesemua itu harus menjadi keutamaan dan amat tidak wajar dan memalukan sekiranya memang ada pihak yang mengikut rasa hati dalam menentukan siapa yang layak dan patut mengerjakannya.

Saudara Ahmad Idham,

Saya tidak selesa untuk menyenaraikan pencapaian saya atau apa yang dikatakan kejayaan dalam bidang ini. Akan tetapi antara yang dimaksudkan dalam perkara pertama yang disebutkan di atas adalah filem kenegaraan harus mendapat perhatian di luar negara dan ini boleh dicapai menerusi jemputan ke festival-festival filem antarabangsa yang relevan, sekali gus meletakkan filem kita ke dalam peta filem dunia.

Filem ‘Kaki Bakar’ arahan saya adalah filem Malaysia pertama dalam sejarah filem negara diundang (Official Selection) ke Cannes International Film Festival pada tahun 1995 dan seterusnya ke sekian banyak festival penting yang lain. Filem pendek saya ‘Sepohon Rambutan Indah Kepunyaan Saya di Tanjong Rambutan’ pula diundang (Official Selection) ke Cannes Film Festival pada tahun 2006.

Akan menjadi nilai tambah jika sesebuah produksi mendapat perhatian dari awal yang selalu membikin pihak festival penasaran apabila mendapat tahu seseorang pengarah memulakan sesebuah projek filem.

Selain festival filem di Dubai saya tidak pernah memohon untuk menyertai festival filem antarabangsa kecuali dijemput oleh mereka. Dan kesemua filem saya pernah dijemput dan ditayangkan di festival filem antarabangsa.

Saya juga mendapat khabar yang Finas terangsang untuk kelak membuat filem supaya dapat dipertandingkan di Oscar. Satu impian dan hasrat yang tinggi. Finas dikhabarkan telah membuat langkah untuk merealisasikan (walupun dengan alasan RnD atau sebagai kajian) dengan menubuhkan satu pasukan membuat kajian melalui metodologi tersendiri tetapi terbukti bukan berlandaskan akademik.

Kesedaran ke arah pencapaian mungkin tercetus daripada kejayaan Sinema Korea dan kebangkitan sinema Asia dengan kemuncak Korea menerima filem terbaik di Oscar pada tahun 2019 melalui filem ‘Parasite’. Jika ini ukuran saudara, kita harus tengok sejarah perjalanan Sinema Korea dan peranan tegar badan perfileman mereka dan kerajaan mereka terhadap perkembangan sinema mereka.

Saya diundang ke Pusan International Filem Festival (sekarang ditukar nama kepada Busan International Film Festival) yang pertama dan kedua pada tahun 1996 dan 1997 dan di situ telah pun saya nampak perancangan dan komitmen pihak pemerintah terhadap sinema mereka. Jika Sinema Korea menjadi contoh, bukan sahaja filemnya (isi dan pertukangan) harus dikaji tetapi infrastruktur dan komitmen badan perfileman dan kerajaan mereka harus juga dikaji dahulu.

Bong Joong-Ho, pengarah filem Parasite

Begitu jugalah jika dikaji Sinema Iran. Pelaksanaan bagi perancangan besar harus dimulakan di atas meja tulis. Untuk Malaysia melahirkan kebanggaan dengan filem kenegaraan, komitmen kerajaan harus total. Saya tidak nampak akan usaha perseorangan dalam melaksanakan filem dalam skala sebegitu. Dan saya sendiri telah menulis, mengarah dan menerbitkan filem berskala besar ‘Hanyut’ pada tahun 2014 setelah ‘Puteri Gunung Ledang’ diterbitkan oleh Tiara Jacquelina dan Enfiniti Filem.

Saudara Ahmad Idham,

Bagi pengetahuan saudara, selain dari kesemua filem saya pernah menyertai festival antarabangsa dunia, saya juga kerap diundang sebagai juri di festival-festival filem antarabangsa (rujuk lampiran), dan saya juga menduduki jawatankuasa Nomination Council Asia Pacfic Screen Awards di Brisbane Australia.

Dari penglibatan saya sebagai jury di Sundance Film Festival, saya telah dilantik sebagai salah seorang mentor di Middle East Screenwriter’s Lab untuk The Royal Film Commision Jordan yang disokong oleh Sundance Institute.

Jika saudara lihat lampiran biodata saya, banyak lagi penglibatan saya dalam dunia perfileman sebagai pembikin, penasihat, pengajar, perserta dan kurator festival filem mahu pun juga dalam cabang disiplin seni lain seperti teater dan seni tampak tanah air.

Saya tidak mahu memanjangkan tulisan ini kecuali diperlukan, dengan akhir kata saya ingin saudara fikir semasak-masaknya apa sahaja keputusan yang saudara lakukan berkenaan perfileman apa lagi perfileman tanah air.

Filem kita adalah jiwa kita. Jiwa yang besar. Ini adalah demi maruah filem kita jika kita ingin berpencak di persada dunia. Kita harus berkelakuan antarabangsa jika kita mahu dilihat antarabangsa.

Sebahagian lampiran:

Pulang dari pengajian filem di New School of Social Research New York, saya mengarah 16 drama TV kemudian memulakan filem pertama saya ‘Perempuan Isteri dan Jalang’ pada tahun 1993 dan mengendali program rancangan Jazz di Radio and Television Malaysia (RTM). Saya juga menulis dan mengarah pentas dan menulis column mingguan di akbar ‘Watan’.

Filem saya telah diundang ke festival di Singapura, Indonesia, Kolkata, New Delhi, Kerala, Da Naang, Phnom Penh, Korea Utara, Busan, Manila, Tokyo, Dubai, Australia, Cannes, Nantes, Berlin, Fribough, New York, Telluride, Rotterdam, Warsaw dan Brussels.

Dua filem saya adalah official selections di Cannes International Film Festival dan filem saya pernah merangkul anugerah filem terbaik, pengarah terbaik, penulis skrip terbaik dan anugerah-anugerah lain di Malaysia, Belgium dan Kemboja.

Nantes Filem Festival (Perancis) pada 2001 membuat satu retrospektif kerja filem-filem saya.

Filem:

  • Perempuan Isteri dan Jalang (1992)
  • Black Widow Wajah Ayu (1994)
  • Kaki Bakar (1995)
  • Jogho (1998)
  • Buai Laju-Laju (2005)
  • Hanyut (2017)

Filem pendek:

  • Sepohon Rambutan Indah Kepunyaanku di Tanjong Rambutan (2006)
  • Satu Fragmen Satu Nota (2015)

Teater:

  • Bakai by Euripedes - TownHall Kuala Lumpur (1997)
  • Wangi Jadi Saksi - Auditorium DBP (2005)
  • Wangi Jadi Saksi - The Esplanade Singapura (2007)
  • Satu Kutipan - The Store DBP Kuala Lumpur (2009)
  • Pokok - Auditorium DBP (2018)

Juri:

  • Singapore International Film Festival 2002 dan 2003
  • Asia Pacific Film Festival Kuala Lumpur 2004
  • Cinemanila International Film Philipine 2006/07
  • World Cinema Sundance Film Festival USA 2007
  • Bakat Muda Sezaman Balai Seni Lukis Negara Malaysia 2006/07
  • International Film Festival 2007
  • Cinemalaya Filem Festival Philipines 2009
  • SAARC Film Festival Colombo Sri Lanka 2014
  • Juri Asia Pacific Screen Awards di Brisbane Australia 2015 ‘Script To Screen Film Workshop’ di Kuala Lumpur anjuran Motion Picture Association (MPA), Finas, Asia Pacific Screen Awards, Artisan Gateway dan Wildsnapper 2019

Ketua Juri:

  • Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2007 & 2008 8th Jogja-Netpac Asian Film Festival 2013
  • AIFFA Kuching Sarawak 2013, 2015, 2017 dan 2019
  • Urban Film Festival Tehran Iran 2017
  • Festival Filem Malaysia 2019

Mentor:

  • Oktober 2008 - Salah seorang penasihat kreatif untuk ‘the 4th Middle East Screenwriters Lab’ bagi Royal
  • Film Comission Jordan, di bawah Sundance Institute, pada Oktober 2008
  • Mentorship IPCC 2008 kategori animasi (sebuah program di bawah program Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia)
  • Penasihat kreatif untuk Asia Pacific Screen Lab di Griffith University di Brisbane, Australia pada 2015 dan 2016.
  • Mentorship program Asia Pacific Screen Lab di Pulau Pinang pada Ogos 2018

Jawatankuasa pencalonan

  • Asia Pacific Screen Awards Brisbane Australia 2016 & 2019

Kurator Program:

  • Brisbane Asia Pacific Film Festival 2015


U-WEI HAJI SAARI adalah seorang pengarah dan penerbit filem.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.