Skip to main
Logo Malaysiakini

Siasatan ke atas Neelofa: Polis minta usah buat spekulasi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mengesahkan siasatan sedang dijalankan ke atas Neelofa dan keluarganya hari ini, polis turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Anuar Omar, berkata satu laporan diterima polis malam tadi membabitkan video tular yang memaparkan keluarga selebriti dan usawahan itu meraikan Aidilfitri di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan awal mendapati video tular yang berdurasi selama 26 saat itu dimuat naik melalui akaun Instagram kakak kepada selebriti tempatan berkenaan.

“Video tersebut memaparkan ahli keluarga selebriti tersebut yang didapati berkumpul di sebuah rumah semasa sambutan 1 Syawal.

"Video itu telah dikongsi oleh netizen melalui laman sosial Twitter.

“Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular melibatkan keluarga selebriti tempatan yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) atas kesalahan melakukan ziarah sempena hari raya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes itu kata Anuar disiasat mengikut Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor bersama suaminya, Haris Ismail, dirakam meraikan Aidilfitri bersama beberapa anggota keluarga yang lain di sebuah kediaman.

Dipanggil bantu siasatan

Sambutan perayaan itu dilihat turut diraikan kakaknya, Noor Nabila bersama suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin, serta anaknya, Engku Aleesya.

Selain itu ibu bapa Neelofa - Noor Kartini Noor Mohamed dan Abdul Halim Khan Lall Khan - juga dilihat berada di tempat kejadian

Untuk rekod sambutan 1 Syawal tahun ini sekali lagi diadakan dalam keadaan negara dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyaksikan pelbagai syarat ketat dilaksanakan.

Antaranya amalan ziarah-menziarahi orang lain tidak dibenarkan.

Sebelum ini beberapa selebriti lain serta orang politik turut didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) lantas menguncang kecaman orang awam.

Perkongsian yang menyentuh sensitiviti itu turut mengundang marah segelintir pihak tatkala ada insan lain yang sedang berduka kerana masing-masing tidak dapat menyambut Aidilfitri bagi menghormati SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Antara yang menjadi bualan netizen adalah pelakon siri TV, Gerak Khas, Norman Hakim, yang dilihat berkongsi momen rayanya bersama keluarga bekas isteri, Abby Abadi dan suami serta anak mereka.

Dalam imej tular itu, Norman dipercayai berkumpul dengan lebih 10 orang lain.

Norman dan keluarganya dilaporkan bakal dipanggil bagi membantu siasatan kerana didakwa melanggar SOP.

Selain Norman, tindakan pelakon Rozita Che Wan berkongsi imej keluarganya meraikan hari raya pada 3 Syawal lalu juga menarik perhatian ramai dan dikaitkan dengan isu pelanggaran SOP.

Mereka dirakam bergambar dengan pakaian sedondon berwarna biru sekali gus mengundang pertikaian netizen yang mempersoalkan sama ada mereka sekeluarga tinggal sebumbung.

Turut kelihatan dalam imej tersebut adalah wajah ibu dan adik Rozita.

Melalui PKP 3.0 sekarang kerajaan melarang pergerakan merentas sempadan negeri dan daerah kecuali dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia.

Pergerakan dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagaimanapun dibenarkan dan ianya dikira sebagai satu kawasan jangkitan.

Sebarang aktiviti yang bertentangan dengan SOP termasuk penyalahgunaan permit merentas negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang.