Dakwaan langgar SOP: Neelofa, suami mengaku tak bersalah
Usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini.
Noor Neelofa atau lebih dikenali sebagai Neelofa, 32, dan Muhammad Haris atau dikenali sebagai PU Riz, 26, yang tiba di mahkamah pada 8.50 pagi, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan majistret Mahyun Yusoff.
Muhammad Haris didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang 2 Mei lepas.
Neelofa pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.
Mahkamah membenarkan Muhammad Haris diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua kesalahan manakala Neelofa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula kes.
Pasangan itu didakwa mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) (Pindaan) (No.12) 2021.
Mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala kedua-dua pasangan berkenaan diwakili peguam Haresh Mahadevan.
Terdahulu Nor Azizah menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap Muhammad Haris manakala RM10,000 kepada Neelofa.
Sementara itu, Haresh berkata pihaknya membantah terhadap jaminan yang ditawarkan pendakwaan atas alasan anak guamnya hanya berdepan dengan kes saman bukan kes jenayah.
“Tiada peruntukan untuk jaminan kerana ia adalah kes saman tetapi mahkamah membenarkan ikat jamin iaitu RM10,000 bagi Haris dan RM5,000 terhadap Neelofa,” katanya kepada pemberita selepas prosiding itu.
Dia berkata anak guamnya telah membayar wang jaminan tersebut.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai