Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kita jadi saksi U-Wei Haji Saari

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ada orang bilang untuk jadi artis itu, gampang. Ramai yang percaya bahawa apa saja tentang seni itu mudah kerana modalnya semudah memperagakan paras dan dana kerajaan.

Sewaktu bumi Palestin teruk dibantai Zionis, semasa umat Islam negara ini masih dalam semangat Aidilfitri dalam PKP, U-Wei Haji Saari tiba-tiba 'menggegar' dengan sepucuk surat terbuka memperjuangkan karyanya Wangi Jadi Saksi.

Warkah terbuka wajar untuk difikir dengan lebih panjang. Bukan kerana ia datang daripada U-Wei, tapi kerana ia adalah simbol kepada cacamarbanya pengurusan dan disfungsi sebuah agensi yang menguruskan salah satu cabang seni di negara ini.

Wangi Jadi Saksi adalah nashkah teater tulisan dan arahan U-Wei yang mampu menjadi interpretasi seni penting kepada naratif asal Hikayat Hang Tuah yang kita semua ketahui.

Karya yang mengangkat akar budaya bersumberkan sebuah hikayat Melayu sebegitu semestinya diberikan perhatian. Malah amat wajar ia didukung untuk difilemkan agar dapat dikongsikan dengan masyarakat.

Ia juga boleh menjadi salah sebuah produk budaya negara yang mampu mencuri perhatian komuniti filem antarabangsa.

Dalam surat terbuka yang ditujukan khas untuk dijawab Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, U-Wei menggariskan beberapa isi penting untuk membantu kita memahami bagaimanakah seni perfileman diuruskan di negara ini.

Pertama, apabila U-Wei yang memohon Dana Kandungan Digital bagi sebuah projek filem kenegaraan, Finas menolaknya tanpa alasan. Malah pemberitahuan keputusan rasmi yang dihantar melalui emel itu juga hanya menyebutkan mengenai keputusan permohonan berkenaan tanpa sebarang butiran filem kenegaraan.

Demikianlah Finas melayan idea seorang seniman.

Kedua, apabila sumber dalaman didakwa ada menyebut penolakan itu ada kaitannya dengan keputusan orang atasan, ia mencadangkan individu berkenaan ialah Ahmad Idham sendiri.

Gula-gula berbalut harapan

Ketiga, timbul persoalan ketelusan dalam seluruh proses penilaian dan mungkin terpalit dengan campur tangan orang berkepentingan yang tiada kena-mengena secara langsung dengan proses penilaian.

Seperti yang dijelaskan dalam surat terbuka U-Wei itu, tiada satu soalan pun yang ditanya panel penilai setelah pembentangan selesai dibuat. Malah panelis menunjukkan ibu jari sebagai tanda semuanya jelas berjalan baik dan lancar.

Sehari selepas surat U-Wei disiarkan, Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hami tampil dengan nada meredakan dengan berkata, karya sama masih boleh dinilai pada masa akan datang.

Namun ia hanya menampakkan betapa dangkalnya pengurusan Finas. Sepatutnya sebagai pengerusi Zaharia harus menjelaskan bagaimana seluruh proses penilaian itu dilakukan, bukan menyodorkan gula-gula berbalut harapan.

Tulisan ini tidak berhajat untuk memanjangkan hal keempat iaitu insiden melobi untuk U-Wei menubuhkan dan mengetuai persatuan baru yang didakwa atas cadangan Ahmad Idham.

Ia terlalu kontroversi kerana persatuan berkenaan dipercayai digagaskan bagi memandomkan badan seperti Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM).

Sebetulnya kata-kata bahawa seni itu gampang adalah salah. Ia cuma propaganda jahat yang dicipta agar masyarakat menjadi sesat. Seni itu tidak mudah, akan tetapi seni filem sudah terlalu lama dibungkamkan oleh agensi seperti Finas.

Lemau menunggu basi

Ia menjadi begitu sehingga akhirnya seluruh struktur kesenian berkenaan punah dimakan anai-anai pemikiran yang tidak membawa kita ke mana-mana.

Kemunculan seseorang menteri dalam sesebuah filem pendek atau iklan perkhidmatan menghantar makanan - itu bukanlah seni. Itu adalah aksi terdesak orang politik mencari suka rakyat melalui 'paksaan' di skrin televisyen atau layar peranti komunikasi.

Lebih buruk daripada itu, ia adalah campur tangan politik yang menjanjikan kemusnahan buat penggiat seni.

Di mata saya agensi seperti Finas itu sebenarnya sama seperti aksi menteri tadi: mengkhianati seni dengan permainan politik dan percaturan peribadi.

Masyarakat harus tahu hal ini kerana pengkhianatan kepada seni hanya akan membuatkan masyarakat yang kontang, bacul dan tidak pernah berani menegur - apa lagi nak melawan - penindasan.

Seni di tempat kita seakan ditimpa sumpah sehingga 99 keturunan kerana selamanya ia tidak berani mengambil sikap, malah jauh daripada tradisi menegakkan keadilan.

Jangankan mengkritik pemimpin politikus kaki lompat yang mengkhianati mandat rakyat, menegur kekalutan agensi kerajaan saja kita menjadi lemau dan menunggu basi.

Tidak gampang menjadi artis atau seniman di negara ini. Kerana jika ia senang, tidaklah U-Wei menulis surat terbuka sebegitu.


HARIS HAUZAH ialah penulis yang percaya sains dan seni adalah dunia yang sama tetapi dipisahkan oleh penjajahan sains di daerah seni.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.