Skip to main
Logo Malaysiakini

Search hantar surat peguam pada peniaga guna nama tanpa kebenaran

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dua anggota kumpulan Search bersama waris pemain dram kumpulan itu memulakan tindakan undang-undang ke atas seorang ahli perniagaan yang didakwa menggunakan nama band tersebut tanpa kebenaran.

Nasir dan Amy berkata, pihaknya mendapat tahu seseorang bernama Mozylyr Mokhtaruddin yang berniaga atas nama 'Home of Champions' antaranya menjual pakaian dan aksesori menggunakan nama Search atau imej-imej yang berkaitan kumpulan itu.

“Kami dan waris-waris arwah Yazit telah mengambil nasihat guaman dan telah mengeluarkan tuntutan terhadap Mozylir Mokhtaruddin atau Home of Champions untuk menghentikan kegiatan-kegiatan mereka,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Mozylir antaranya didakwa mengambil keuntungan menggunakan nama Search melalui platform media sosial dan platform e-dagang seperti:

1. http://www.fenomenasearch.com/shop
2. https://www.facebook.com/fbhomeofchampions/
3. https://www.instagram.com/homeofchampions.store/
4. https://shopee.com.my/homeofchampions.store

Selain itu, individu terbabit didakwa turut menjual kasut Aliph x Search - Edisi 2021 atas dasar penjualan terhad kepada 999 unit.

Melalui tinjauan Malaysiakini, antara pakaian dijual melalui laman web fenomena Search itu adalah baju tertera perkataan 'Apologia'. Ia dijual dari harga bermula RM120 hingga RM130 sehelai.

Untuk rekod, Apologia, sebuah konsert yang bakal menampilkan tiga anggota asal band Search iaitu Nasir Daud (bass), Kid (gitar) dan Din (gitar) manakala khidmat Pae digunakan sebagai sessionist (dram). Ia menggunakan khidmat Awie Wings sebagai vokalis bagi menggantikan Amy.

Pada 20 Mac tahun lalu, Amy membuat kejutan apabila mengumumkan secara rasmi dia mengundur diri dari Search ketika tampil bersiaran secara langsung dalam satu portal hiburan.

Search pada awal dianggotai oleh Amy, Allahyarham Yazit, Nasir, Hillary dan Nordin.

Hillary berundur selepas album ketiga Search, Mentari Merah Di Ufuk Timur dan Kid mengambil alih tempat pemain gitar itu dari album keempat berjudul, Fenomena.

Menurut Search, album mereka yang terakhir iaitu Katharsis dikeluarkan oleh Amy, Nasir, Nordin dan Kid pada tahun 2017.

“Namun, pada masa itu, arwah Yazit tidak bermain di dalam album tersebut atas sebab keuzuran pemain dram itu. Yazit meninggal dunia pada 2019.

“Bagaimanapun, ahli-ahli Search bersetuju untuk memastikan bahawa hak-hak Yazit kepada nama Search dan kerja-kerja arwah untuk kumpulan ini dari tahun 1981 lagi akan diberikan kepada waris-warisnya,” kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Home of Champions berkata, mereka akan membuat kenyataan balas dalam masa terdekat.

“Berhubung kenyataan media yang kami terima, difahamkan dari pihak Amy dan Nasir di platform media sosial, pihak kami akan membuat satu kenyataan balas melalui pihak guaman kami dalam masa terdekat ini,” menurut kenyataan tersebut.