Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tak banyak yang boleh diulaskan'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Noor Neelofa Mohd Noor selesai memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Seremban, Negeri Sembilan sebentar tadi.

Usahawan dan pengacara itu disiasat berhubung isu dia didakwa tidak memakai pelitup muka di sebalik purdah di pekarangan Mahkamah Majistret Seremban 20 Mei lalu.

“Pihak kami dah berikan sepenuhnya kerjasama kepada pihak polis dalam menyelesaikan kes ni,” katanya melalui teks pesanan ringkas hari ini.

Terdahulu, isu Neelofa tidak memakai pelitup muka dibangkitkan selepas imej dia dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail sewaktu tiba di Mahkamah Majistret Seremban tular.

Melalui imej yang dirakam, bayangan seolah-oleh bentuk hidung dan mulut pelakon itu tanpa sebarang penggunaan material lain di sebalik purdah yang dipakai menimbulkan polemik dalam kalangan pengguna warga maya.

Neelofa dan Haris, atau PU Riz, 26, hadir bagi sebutan kes kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini.

Haris didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB iaitu tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang 2 Mei lalu.

Neelofa pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Pasangan itu mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan. 

Mahkamah membenarkan Haris diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua kesalahan manakala Neelofa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula kes.

Namun, tiada tuduhan rentas negeri dikenakan ke atas pasangan terbabit

Sementara itu Neelofa enggan mengulas lanjut mengenaiu kehadirannya di IPD Seremban berhubung isu pelitup muka itu dengan lebih terperinci.

“Alhamdulillah proses berjalan dengan lancar. Tak banyak yang boleh saya ulas tentang hal ini memandangkan kes masih lagi dalam siasatan.

“Insya-Allah jika ada perkembangan, pihak saya ataupun pihak polis akan maklumkan kemudian,” katanya.

Sebelum ini Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun seseorang itu berniqab atau berperisai muka di tempat awam, ia masih tidak mengecualikan individu terbabit daripada memakai pelitup muka.

Kata Ismail memakai pelitup muka di tempat awam adalah wajib mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).