Skip to main
Logo Malaysiakini

Iman Troye cetus kemarahan dek lawakkan kes Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Iman Troye mungkin asalnya cuma mahu bergurau tetapi ciapan berkenaan nampak memakan dirinya sendiri.

Gara-gara memilih angka kes baru Covid-19 sebagai bahan hantarannya, penyanyi Teman itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan segelintir warga maya.

Penyanyi yang mula dikenali melalui program I Can Your Voice Season 2 itu disifatkan tidak sensitif kepada wabak yang menjejaskan kehidupan ramai orang apabila dia menulis statistik angka jangkitan sambil mengiringi sendirannya dengan perkataan happy (gembira).

Pemilik nama sebenar Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin juga dianggap tidak matang kerana boleh bergurau mengenai peningkatan harian angka jangkitan dan kematian.

Happy 6,900 everyone! Tahniah! Harap esok dapat 7,000 hihi,” ciapnya semalam.

Kemarahan netizen bertambah apabila Iman, 18, mengakhiri ciapannya dengan penggunaan tanda pagar #KerajaanGagal.

Selepas beberapa jam memuat naik status berkenaan, Iman dilihat menyah aktif akaun Twitter berkenaan.

Netizen antaranya berkata, Covid-19 bukan bahan gurauan kerana ia mengakibatkan petugas barisan depan keletihan dan ramai orang meninggal dunia.

“Petugas barisan depan kepenatan, ramai orang mati, dan kau berani ciap; harap esok boleh dapat 7,000 seolah-oleh ia satu gurauan. Sangat tak sensitif,” ciap seorang pengguna Twitter.

Semalam, Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 6,976 kes baharu Covid-19 manakala hari ini setakat tengah hari tadi 6,509 lagi jangkitan dilaporkan.

Selangor mencatat jangkitan baru tertinggi dengan 2,049 kes diikuti Sarawak (530), dan Johor serta Kuala Lumpur yang kedua-duanya mencatat 468 kes.