Skip to main
Logo Malaysiakini

Didakwa langgar SOP lagi, Neelofa tampil bela diri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sekali lagi Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail mengundang perhatian warga maya apabila didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) hari ini.

Pasangan selebriti itu dikaitkan gagal mengikut ketetapan Majlis Keselamatan Negara yang mengehadkan bilangan orang yang dibenarkan dalam sesebuah kereta.

Kejadian itu disedari netizen selepas usahawan dan selebriti berkenaan serta Haris - atau PU Riz - selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pagi tadi.

Mereka dilihat menaiki sebuah kenderaan yang sama. Termasuk pemandu kereta terbabit bermakna ada empat orang dalam kenderaan berkenaan.

Neelofa, 32, bagaimanapun menafikan tuduhan terbabit.

Menjawab dakwaan itu, Neelofa memuat naik keterangan menjelaskan situasi berkenaan melalui Twitter.

Katanya, dia dan peguam, Ahmad Zaharil Muhaiyar tidak menaiki kenderaan sama sewaktu memberi keterangan di IPD Seremban.

“Kami hanya menumpangkan Ahmad Zaharil dari balai polis ke mahkamah bersebelahan yang jaraknya terletak kira-kira 50 meter.

“Saya dan peguam saya diletakkan di ruangan parkir mahkamah. Saya dan peguam tidak hadir ke IPD Seremban dengan menaiki kenderaan yang sama,” katanya.

Kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan yang diperketatkan sehingga 7 Jun ini.

Menurut Neelofa, dia sudah menghubungi IPD Seremban untuk memaklumkan perkara tersebut dan mendakwa pihak polis tahu mengenainya.

Selain itu, Neelofa turut mencadangkan polis untuk meneliti semula ‘saksi’ sedia ada - iaitu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ketika dia menurunkan peguamnya di pekarangan mahkamah dan di luar IPD.

“Kami sudah menghubungi IPD Seremban dan mereka sedia maklum mengenai perkara ini.

“Saya, Haris dan pemandu pulang ke Kuala Lumpur dengan kenderaan kami, manakala peguam pula pulang dengan memandu kenderaannya.

“Diharap penjelasan ini dapat mengelakkan salah faham. Sekian terima kasih,” katanya.