Skip to main
Logo Malaysiakini

Eina akui ada penyakit tapi terlalu peribadi untuk didedahkan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mendakwa memang mempunyai masalah kesihatan, pelakon Eina Azman bagaimanapun tetap enggan berkongsi sebarang maklumat lanjut mengenai apa yang dihidapinya.

Menganggap ia "terlalu peribadi" Eina berkata masalah kesihatan yang ditanggung itu hanya dimaklumkan kepada beberapa beberapa individu terdekat saja.

“Saya sendiri mempunyai masalah kesihatan namun terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum dan hanya untuk pengetahuan keluarga saja,” katanya di Instagram.

Terdahulu, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak menafikan khabar yang tular di media sosial mendakwa Eina - atau nama sebenarnya Ainur Syakina - dan suaminya Kaiser Gurmeet Harden memotong giliran bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 25 Mei lalu.

Kata Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman, pasangan tersebut dirujuk ke hospital terbabit oleh doktor pakar yang merawat mereka atas alasan penyakit dan komorbid yang dihadapi. 

Isu itu timbul selepas ramai mempertikaikan bagaimana Eina, 26, dan suaminya mendapat kelebihan menerima vaksin lebih awal berbanding orang lain termasuk warga emas dan golongan kurang upaya.

Suntikan vaksin tersebut asalnya tidak diketahui ramai namun ia menjadi tular dan kemudian dipersoalkan selepas Eina memaklumkan sendiri perkara itu di Instagram.

Ia turut mengundang kecaman apabila warganet mendakwa Eina dan suaminya itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa dari 25 Mei hingga 7 Jun ini.

Namun, posting itu dipadam sejurus tular.

Susulan itu, Eina, memohon maaf sekiranya perkongsiannya itu menimbulkan perasaan kurang senang kepada segelintir pihak.

“Saya tidak bermaksud untuk menyinggu sensitiviti sesiapa apatah lagi ketika isu vaksin menjadi perbualan hangat.

“Malah, pihak berwajib juga sudah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini. Justeru, saya memadam posting daripada paparan Instagram bagi mengelakkan isu ini daripada menjadi rumit.

“Dengan rasa rendah diri, saya sekali lagi memohon maaf sekiranya video dan gambar yang dimuat naik menimbulkan salah faham,” katanya.