Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua hari lepas suntik vaksin, Sabri rasa 'cergas lain macam'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dua hari selepas menerima suntikan vaksin Covid-19, pelakon dan pengarah terkenal Sabri Yunus berkata dia mengalami rasa "cergas lain macam" walaupun sebelum itu berasa sedikit tidak selesa.

Tampil dengan klip video pendek untuk menceritakan pengalamannya menerima vaksin tersebut Sabri berkata tiada sebarang kesan sampingan ketara selepas suntikan diberikan.

“Lepas suntik tu, doktor tak bagi balik terus, dia suruh tunggu dulu dalam 15 hingga 30 minit untuk tengok (kalau ada) kesan selepas vaksin seperti sawan atau sebagainya.

“Apabila keadaan baik, dia benarkan saya balik. Sampainya saya di rumah, tiada apa apa kesan, hanya rasa kesan bekas suntikan itu sahaja tapi tubuh dalam keadaan baik,” katanya dalam perkongsian di media sosial itu.

Sabri menerima suntikan vaksin berkenaan pada 23 Mei lalu.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan memang ada sesetengah penerima suntikan vaksin Covid-19 akan berasa sakit sedikit dan bengkak pada tempat suntikan, selain keletihan, dan demam.

Sabri berkata sehari kemudian dia berasa seperti mahu demam dan badannya sedikit panas.

“Jadi saya ambil ubat demam yang dibeli di farmasi dengan kadar ambilan tiga kali sehari dan dalam masa yang sama saya ambil pil vitamin C 500mg, telan dua kali sehari iaitu tengah hari dan malam,” jelasnya.

Selain itu dia juga menggunakan kaedah tradisional iaitu meminum air kelapa muda bersama campuran garam dan sedikit perahan limau sebagai salah satu ikhtiar mengelak rasa kurang selesa itu melarat.

"Apabila malam, rasa nak demam tu makin terasa, tak apalah saya terus rehat dan tidur.

“Apabila bangun pagi, rasa cergas lain macam... hari ni (rasa) sangat sihat, tak ada rasa apa-apa (nak demam) dah," katanya.

Justeru pelakon filem One, Two, Jaga itu menyeru orang ramai agar tidak perlu ragu-ragu untuk mengambil vaksin berkenaan seperti yang disarankan kerajaan.

“Umur nok masuk 60, bule sembile tahun ni cukup 60. Jangan takut kepada kesan-kesannya. Kalau ada pun setakat demam biasa saja," katanya.