Skip to main
Logo Malaysiakini

Bintang filem Keluarga 69 meninggal dunia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Industri hiburan sekali lagi kehilangan permata seni apabila seniwati Julie Faridah @ Joria Basir meninggal dunia akibat jangkitan virus semalam.

Seperti dipetik Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), anak Julie, Aziah Jasmin, berkata ibunya menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Pantai di Ipoh, Perak pada jam 1.37 pagi.

“Allahyarhamah meninggal dunia di sisi ketiga-tiga anaknya selepas dua minggu dimasukkan ke hospital.

“Jenazah dimandikan dan dikafankan di rumahnya di Jalan Watson, Ipoh sebelum dibawa ke pekarangan Masjid Datuk Panglima Kinta untuk dikebumikan bersebelahan kubur suami sekitar jam 11 pagi semalam,” menurut satu kenyataan.

Julie meninggal dunia pada usia 76 tahun.

Ketika zaman kegemilanganya, Julie terkenal dengan watak Faridah melalui filem Keluarga 69 arahan Allahyarham P Ramlee yang diterbitkan pada 1967.

Julie terpaksa melupakan hasrat untuk terus aktif dalam dunia seni disebabkan mengikut arwah suaminya, Azizul Hassan, seorang pegawai kanan polis selain turut menyandang gelaran Orang Besar Jajahan Kinta ketika itu.

Arwah Julie meninggalkan tiga orang anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan.

Selain itu, dia juga berbesan dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail kerana anak lelakinya, Mohammad Yaakob berkahwin dengan Tuanku Raja Perlis, Tengku Puteri Mahkota Perlis Sharifah Fariza Tuanku Syed Sirajuddin.