Yayasan KRU bantu golongan belia cipta peluang kerjaya
Golongan belia harus bersedia mencipta peluang ekonomi cara baru khususnya melalui platform-platform digital berteraskan kemahiran berkaitan industri kreatif meskipun ketika negara berjuang mengekang pandemik Covid-19.
Presiden Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Norman Abdul Halim berkata, sejajar dengan visi kerajaan untuk merealisasikan Wawasan Kesejahteraan Bersama 2030, Yayasan KRU melancarkan program Kita Jaga Kita serta melantik lebih 20 Ikon Media bagi membantu belia berasal dari keluarga B40.
“Kita Jaga Kita adalah program berbentuk tajaan latihan jangka pendek selain menggerakkan sumbangan barangan teknologi maklumat dengan tujuan memperkasakan ilmu dan ekonomi belia khususnya dari kalangan keluarga kumpulan B40 di Malaysia.
“Kami yakin ini hanya suatu permulaan untuk membantu golongan belia dan graduan berjinak-jinak menceburi bidang keusahawanan.
“Bagi menjayakan program ini, kami melantik 23 ikon media menjadi sukarelawan Kita Jaga Kita. Sebagai sukarelawan, Ikon Media ini akan hebahkan maklumat mengenai aktiviti melalui akaun media sosial mereka,” katanya pada sidang media diadakan secara maya, semalam.
Dengan menggunakan barangan teknologi maklumat yang diberikan kepada mereka, penerima sumbangan terbabit diwajibkan mengambil kursus-kursus latihan jangka pendek (di bawah tajaan Yayasan KRU) dalam talian bagi bidang-bidang kemahiran berkaitan industri kreatif dan pemasaran digital.
Seterusnya, para pelatih tersebut akan dibimbing untuk menjadi influencer (pempengaruh) bagi memulakan atau memajukan perniagaan masing-masing melalui kerjasama strategik dengan platform-platform media digital dan e-dagang.
Program itu turut mendapat kerjasama daripada syarikat seperti AEON Co Malaysia Berhad serta Majlis Belia Malaysia.
Antara selebriti yang bakal menjayakan program tersebut adalah Zamani, Linda Rafar, Adam, Winnie K, Kumpulan VIP, Dian Hashim, Fai Ramli, DJ Fateh, Timur, , Mior Zulkarnain, Denes Kumar dan Balan Kash.
Pada masa sama, bekas anggota kumpulan KRU itu berkata, golongan belia menjadi kumpulan sasar kerana mereka diyakini mampu mencetus perubahan.
“Kami percaya program Kita Jaga Kita akan memberi impak yang tersendiri khususnya mengubah nasib golongan belia B40 bagi membantu keluarga masing- masing ketika berdepan situasi sekarang,” katanya.
Selain Program Kita Jaga Kita, Yayasan Kru juga melancarkan lagu dan video muzik menggunakan tajuk sama - Kita Jaga Kita - yang diangkat menjadi lagu tema program tersebut.
Menurut Norman, hasil kutipan royalti daripada lagu Kita Jaga Kita akan disalurkan sebagai dana untuk membantu kelangsungan program berkenaan.
“Royalti lagu akan masuk ke tabung Yayasan KRU sebagai membiayai program latihan untuk belia dari keluarga B40.
“Terima kasih kepada semua artis kerana mengenepikan hak mereka. Semoga Tuhan memberkati anda semua,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai