Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jangan sia-siakan peluang kalau dah dapat janji temu vaksin'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jangan sesekali melepaskan peluang sekiranya sudah mendapat tarikh janji temu untuk vaksin - demikian pesanan Siti Nordiana kepada orang ramai khususnya yang sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan.

Dan penyanyi itu bercakap atas kapasiti orang yang masih belum mendapat peluang disuntik vaksin tersebut.

Menurut Siti Nordiana seperti orang lain dia juga mencuba nasib untuk mendapatkan slot bagi suntikan vaksin AstraZeneca baru-baru ini namun nasibnya tidak cukup baik apabila gagal.

“Masa tu semua orang berlumba-lumba nak daftar ambil vaksin tapi gagal. Siapa-siapa yang dah dapat janji temu untuk vaksinasi janganlah sia-siakan peluang keemasan yang anda perolehi.

“Ini adalah demi kebaikan dan keselamatan orang di sekeliling kita. Jangan takut ambil vaksin,” katanya pada sidang media secara maya sempena pelancaran single Cukup Derita Itu yang diadakan hari ini.

Lagu itu adalah ciptaan Tam Spider manakala liriknya dihasilkan Siti Rosmizah.

Buat penilaian doktor

Bercakap kepada Malaysiakini, Siti Nordiana berkata, dia memang sudah mendaftar untuk mendapatkan vaksin melalui aplikasi MySejahtera namun mahu mencuba nasib agar diberikan suntikan lebih awal apabila permohonan untuk AstraZeneca dibuka baru-baru ini.

"Memang kecewa sebab tak dapat. Apabila ada anak, macam-macam ketakutan timbul apabila belum divaksin.

"Nak keluar rumah pun takut sangat, tambahan pula di kawasan saya sudah ada kes positif Covid-19. Saya hanya keluar apabila betul-betul perlu saja.

“Justeru sekarang terpaksalah saya tunggu giliran untuk mendapat vaksin melalui MySejahtera,” katanya.

Namun, kata pemilik nama penuh Siti Nordiana Alias itu, dia bersyukur kerana akan menemani bapanya Alias Ahmad, 66, untuk menerima suntikan vaksin dos pertama esok.

Menurut Siti Nordiana, 36, dia berjaya memujuk bapanya yang sebelum ini takut untuk menerima vaksin.

“Ya, macam-macam perkara kurang enak tersebar melalui WhatsApp dan bapa saya juga ada penyakit yang berisiko seperti darah tinggi dan kencing manis. Penyakit itu membuatkan dia was-was pada asalnya.

“Kami kemudian dapatkan penilaian doktor swasta sama ada bapa sesuai atau tidak untuk menerima vaksin, dan keputusannya adalah positif,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Cukup Derita Itu, Siti Nordiana berkata, dia bersyukur masih diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu runut bunyi bagi drama rantaian sama nama - berjudul Cukup Derita Itu - yang diarahkan oleh Along Kamarudin.

Menurutnya lagi, dia melakukan beberapa penelitian sendiri bagi memastikan lagu berkenaan meresap ke jiwa penonton.

“Sebelum nyanyi Cukup Derita Itu, saya tengok babak drama dan hadamkan bagaimana penderitaan dialami watak Ellani dalam kisah itu yang dilakonkan oleh Ruhainies.

“Ellani dipukul teruk oleh ibu saudaranya dan saya cuba bawa penderitaan itu dalam lagu, itu adalah cabaran paling besar untuk bawakan lagu tersebut,” katanya.

Ditanya sama ada runut bunyi lagu tersebut akan melonjakkan lagi namanya dalam persada seni seni suara, Siti Nordiana berkata, dia tidak menolak faktor itu.

“Drama ni bagi impak besar pada lagu. Kalau tak ada drama, lagu mungkin boleh popular tapi akan makan masa. Bila ada orang tonton drama, mereka akan buat carian untuk lagu, dan ia akan menambah jumlah tontonan pada video muzik,” katanya.