Skip to main
Logo Malaysiakini

Hantaran ibu Neelofa: Polis panggil 7 saksi, tunggu laporan teknikal

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pihak polis masih menunggu laporan teknikal selepas mengambil keterangan saksi-saksi berhubung satu hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor melalui Instagram milik ibu kepada Neelofa Mohd Noor, iaitu Noor kartini Mohamed.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, keterangan semua saksi seramai tujuh orang telah diambil dan pihak polis akan merujuk kes tersebut kepada pihak pendakwa raya apabila ia telah selesai.

“Semua keterangan saksi diambil. (Pihak polis) sedang tunggu laporan teknikal dan bila selesai kita akan rujuk pihak pendakwa raya,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor hari ini.

Pada 31 Mei, polis memanggil Noor Kartini dan memulakan siasatan berhubung hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melalui Instagram miliknya.

Sebelum ini, tular tangkap layar Instagram Story Noor Kartini dalam laman sosial berhubung ketidakpuasan hati terhadap sistem raja berperlembagaan sehingga menyebabkan banyak pihak terkejut dengan hantarannya itu.

Namun, ia didakwa dimuat naik secara tidak sengaja oleh pengurus media sosial, di Noor Khan International Sdn Bhd, Zulsyafiqah Zulkafli.

Bagaimanapun, hantaran dalam IG Story itu dipadam selepas beberapa minit dimuat naik.