Skip to main
Logo Malaysiakini

Hafreez bersyukur bakat melukis berjasa pada masa Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Walaupun karier lakonan serta perniagaan chakuetiau terpaksa dihentikan buat sementara waktu, Hafreez Adam tetap bersyukur kerana dengan kebolehan melukisnya dia boleh menjana pendapatan sampingan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 ini.

Sama seperti orang lain, katanya, pekerja industri kandungan kreatif juga turut menerima tempias apabila berdepan kekangan Covid-19.

"Dugaan kami ialah apabila penggambaran perlu dihentikan kerana PKP.

“Namun, saya tetap bersyukur kerana boleh gunakan bakat melukis yang ada. Memang tak ada sesiapa pun menjangkakan situasi sekarang.

"Kita semua tidak bersedia dengan Covid-19," katanya kepada Malaysiakini.

Menjelaskan keadaannya Hafreez berkata dia memang jenis orang yang tidak boleh duduk diam sebaliknya perlu melakukan sesuatu jika ada masa terluang.

Justeru tanpa jadual untuk ke set penggambaran, katanya, dia mula melukis selepas bertahun-tahun tidak berbuat demikian.

Minat lepas tonton anime

Menurut pemilik nama penuh Hafreez Adam Aizat Zahalan itu, PKP 1.0 sememangnya banyak membawa pengajaran untuk anak seni yang terkesan seperti dia.

Kali ini, katanya, dia tidak mahu perkara sama berlaku tanpa persediaan rapi.

Kata Hafreez, 30, dia cuba berikhtiar untuk menjana pendapatan sampingan dengan melukis dan tidak menjangka ia boleh mendatangkan hasil positif.

“Industri seni memang agak tenat. Banyak penggambaran drama terpaksa dihentikan kerana tidak dibenarkan. Produksi juga banyak mengalami kerugian, namun saya masih positif.

“Mungkin suatu hari kita akan dapat landaikan kes Covid-19 dan PKP juga dah tiada lagi. Pada masa tu mungkin banyak produksi sudah boleh sambung penggambaran semula,” katanya.

Menceritakan detik awal bagaimana dia boleh berkecimpung dalam bidang lukisan, Hafreez berkata, ia bermula selepas dia mula berminat menonton rancangan anime.

“Siapa sangka daripada menonton, saya kemudian minat melukis anime. Ia bermula sejak berusia 7 tahun. Hobi tu dikembangkan untuk jualan pada usia begini.

“Pada awal saya hanya jual lukisan pada harga RM50 saja. Tapi sekarang, bila dah banyak dapat permintaan, ada yang harganya mencecah RM600 untuk pesanan khas,” katanya yang gemar menggunakan bahan cat seperti akrilik, warna air dan cat minyak.

Sementara itu, mengulas mengenai Derita Untuk Bahagia, Hafreez berkata, drama yang baru dua hari ditayangkan di saluran Astro Prima (105) selain boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel itu membawa banyak cabaran untuknya yang jarang membawakan watak beremosi.

Menurutnya, drama arahan Ejump Mohd itu memerlukannya banyak menumpahkan air mata dan pada masa sama perlu mempamerkan sikap tenang pada wajahnya.

“Lakonan tu susah untuk saya. Nak kena tunjukkan muka tenang tapi pada masa sama tumpah air mata. Saya jarang dapat watak nak kena menangis banyak macam ni.

“Tapi Alhamdulillah, bila pengarah minta saya menangis, saya berjaya lakukannya tanpa menggunakan air mata palsu,” katanya.