Skip to main
Logo Malaysiakini

Srikandi Bersatu mahu SKMM tegas pada pemilik akaun @safieyillias94

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Srikandi Bersatu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan tegas ke atas pelaku yang disyaki melakukan komunikasi lucah dan amang seksual membabitkan kanak-kanak bawah umur.

Exco Srikandi Bersatu, Nurainie Haziqah Shafii berkata, tindakan pelaku itu tidak boleh diterima sama sekali kerana kanak-kanak di bawah umur sepatutnya dilindungi daripada perbuatan yang tidak bermoral dan negatif yang boleh mempengaruhi mereka.

Menurutnya, dia ada terbaca dan menonton berkenaan isu usahawan kosmetik sensasi yang membuat Instagram Live melalui akaun @safieyillias94 bersama seorang rakannya yang menggunakan akaun @pipinatasha serta dua orang kanak-kanak bawah umur.

“Dalam sesi perbualan secara langsung itu, usahawan terbabit dan rakannya telah berkomunikasi secara lucah terhadap kanak-kanak bawah umur tersebut.

“Malah perbuatan ini boleh dikategorikan sebagai antun seksual atau sexual grooming yang boleh membawa hukuman pemenjaraan selama tidak melebihi tempoh lima tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat jika disabitkan kesalahan.

“Justeru, saya menggesa pihak PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mengambil tindakan tegas kepada pelaku ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut peguam itu lagi, dalam sesi Instagram Live sama, pelaku didakwa menggalakkan dua kanak-kanak bawah umur mengambil bahan terlarang.

Kedua-dua mereka turut menunjukkan cara menghisap vape atau rokok elektronik kepada kanak-kanak terbabit.

Katanya, kesemua perbuatan tersebut bertentangan dengan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998: Perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan kesalahan bawah OBD (orang belum dewasa) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Rafidah Hanim Mokhtar membuat laporan polis selepas melihat pemilik akaun @safieyillias94 dan @pipinatasha menggunakan platform media sosial untuk melakukan dandanan seksual ke atas pengguna media sosial yang dipercayai berusia 14 dan 15 tahun.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan pemilik akaun tersebut.

Rafidah berkata, sekiranya apa yang berlaku tidak ditangani segera, perkara seperti itu akan berterusan selain bertambah sukar untuk dibendung.

Pada masa sama, Nurainie mengajak ibu bapa di luar sana untuk sentiasa mengawasi kanak-kanak bawah umur terutama sewaktu mereka mengakses peralatan elektronik agar tidak menyalahgunakan peranti tersebut.

“Sebagai seorang ibu, saya gusar jika perbuatan tidak bermoral ini tidak dikawal, ia boleh menjerumus kepada isu-isu yang lebih besar seperti pedofilia dan perkongsian bahan lucah.

“Pihak berkuasa juga perlu menapis bahan-bahan yang tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak bawah umur bagi mengelakkan isu seperti ini berulang,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan polis sudah menahan pemilik akaun Instagram @safieyillias94 dan akan membuat permohonan reman hari ini.